Operasi 24 jam restoran bukan punca masalah kesihatan rakyat – PRESMA bidas CAP
PUTRAJAYA – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menegaskan operasi restoran 24 jam bukanlah penyebab utama masalah kesihatan rakyat tetapi dipengaruhi faktor lain seperti amalan gaya hidup sihat individu itu sendiri.
Presiden PRESMA, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, budaya lepak di restoran mamak sudah menjadi budaya masyarakat Malaysia dan tiada hubungan secara langsung dengan masalah kesihatan sebagai respon kepada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) atas gesaan mereka untuk menghapuskan lesen operasi 24 jam kepada restoran.
“Lewat makan malam di restoran tidak secara langsung menyebabkan masalah kesihatan seperti obesiti kerana restoran bukan hanya tempat makan dan minum, tetapi juga menjadi lokasi bersosial selepas waktu kerja.
“Sejak beberapa tahun ini, sudah menjadi budaya rakyat di negara kita menjadikan restoran sebagai pusat sehenti bukan saja untuk makan dan minum, malah dijadikan sebagai lokasi untuk bersosial selepas waktu kerja kerana suasana yang kondusif serta mudah diakses,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata gesaan itu perlu diperhalusi dari sudut kesihatan, sosial serta budaya masyarakat Malaysia terutama membabitkan waktu bekerja serta fungsi restoran yang menyediakan makanan, minuman serta lokasi perbincangan atau pembelajaran.
Katanya, beliau menekankan bahawa operasi restoran sepanjang masa bukan penyebab utama masalah kesihatan di Malaysia malah ia turut dipengaruhi faktor lain seperti amalan gaya hidup sihat individu itu sendiri.
Dalam pada itu, beliau menggesa kepada semua NGO untuk memberi perhatian kepada isu penjualan arak secara terbuka yang turut beroperasi 24 jam yang dianggap lebih berisiko terhadap keselamatan awam terutama semasa di jalan raya.
Sehubungan itu, beliau menyuarakan pandangan itu kepada kerajaan berhubung kebenaran operasi 24 jam berdasarkan prestasi perniagaan ahli-ahli mereka di seluruh negara.
Beliau menyatakan kesiapannya untuk menerima pandangan dan cadangan serta berbincang berhubung isu ini demi kepentingan semua pihak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


