AGAMABERITA SEMASADALAM NEGERI

Haji tanpa visa sah boleh jejas kemudahan haji kepada Malaysia – Dr. Na’im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak terlibat dalam mengerjakan haji tanpa visa yang sah demi kepentingan umat Islam di negara ini.

Beliau menegaskan, perbuatan sesetengah individu yang memasuki Mekah tanpa visa haji yang sah bukan sahaja mencemarkan reputasi jemaah Malaysia secara keseluruhan malah berpotensi menjejaskan hak dan peluang jemaah lain.

“Janganlah kita menjadi punca kesusahan buat jemaah haji lain dengan melakukan kesilapan yang boleh dielakkan.

“Setiap tindakan kita mencerminkan imej negara di mata dunia,” katanya dalam ucapan Majlis Perasmian Pavilion al-Falah.

Menurut beliau, sehingga kini Lembaga Tabung Haji (TH) tidak menerima sebarang laporan rasmi daripada mana-mana pihak berhubung insiden pengusiran 63 rakyat Malaysia dari Mekah ke Jeddah yang berlaku sejak 29 April lalu.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi serta pegawai TH yang sedang bertugas di Tanah Suci. Setakat ini, mereka belum menerima sebarang aduan rasmi daripada individu terbabit,” ujarnya.

Insiden tersebut berlaku apabila individu-individu itu dikesan berada di Mekah tanpa visa haji sah, sekaligus melanggar peraturan ketat yang dikuatkuasakan pihak berkuasa Arab Saudi.

“Mereka yang melakukan kesalahan ini berisiko dikenakan denda sehingga SAR100,000 (kira-kira RM113,000), diusir serta disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi selama 10 tahun.

“Tindakan sebegini bukan sahaja menjejaskan individu terlibat, malah boleh menjejaskan kuota haji Malaysia pada masa depan.

“Beberapa negara telah disenarai hitam oleh Arab Saudi kerana pelanggaran visa yang kerap dilakukan oleh rakyat mereka.

“Akibatnya, mereka tidak lagi dibenarkan menggunakan visa lawatan untuk menunaikan umrah. Malaysia tidak terkecuali daripada risiko yang sama sekiranya kesalahan ini berulang,” tegasnya.

Beliau mengingatkan umat Islam di Malaysia supaya menunaikan ibadah haji mengikut saluran rasmi yang dibenarkan syarak serta mematuhi segala peraturan pihak berkuasa tuan rumah.

“Peringatan telah diberikan setiap tahun, tetapi jika masih ada yang ingkar, mereka harus bersedia menanggung akibatnya. Denda yang tinggi, pengusiran dan sekatan selama lima hingga 10 tahun adalah hukuman yang sangat berat,” tambahnya.

Tambah beliau, semua pihak harus lebih bertanggungjawab dalam menjaga maruah dan kelancaran ibadah suci ini demi kepentingan bersama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button