Malaysia-Thailand perkukuh kerjasama pertanian, RM17 juta dimeterai
BANGKOK – Malaysia dan Thailand terus memperkukuh hubungan dua hala dalam sektor pertanian apabila Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, mengadakan lawatan rasmi ke negara jiran itu bermula 29 Mei lalu.
Lawatan kerja yang berakhir hari ini menyaksikan pelbagai inisiatif penting dibincangkan bersama rakan sejawatnya, Prof. Dr. Narumon Pinyosinwat, Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand.

Mohamad berkata, dalam pertemuan dua hala itu, kami membincangkan usaha memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Thailand yang kini berada di peringkat akhir rundingan.
“MoU tersebut dijangka membuka lebih banyak ruang kerjasama dalam subsektor tanaman, ternakan dan perikanan, termasuk melancarkan perdagangan makanan antara kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sempena lawatan itu, Mohamad turut merasmikan Pavilion Malaysia di THAIFEX – Anuga Asia, salah satu ekspo perdagangan makanan dan minuman terbesar di rantau ini.
“Malaysia membawa penyertaan sebanyak 137 syarikat tempatan dalam ekspo tersebut, yang menyaksikan kejayaan menandatangani dua memorandum persefahaman bernilai keseluruhan RM17 juta.
“Penyertaan aktif syarikat Malaysia dalam platform antarabangsa ini membuktikan keupayaan sektor F&B negara bersaing di peringkat global,” katanya lagi.

Lawatan kerja turut membawa Mohamad ke Kubota Farm, sebuah pusat inovasi pertanian milik syarikat terkemuka Siam Kubota.
Beliau diberi taklimat serta meninjau pelbagai teknologi pertanian moden yang berpotensi untuk dibangunkan bersama di Malaysia.
Turut mengiringi beliau dalam lawatan itu ialah Bong Yik Jui, Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand serta beberapa pegawai kanan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kedutaan Malaysia di Bangkok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

One Comment