BERITA SEMASAPMX

Malaysia berhati-hati sokong cadangan Lembaga Keamanan Gaza – PM

KUALA LUMPUR – Malaysia mengambil pendirian berwaspada sebelum menyatakan sebarang sokongan terhadap cadangan penubuhan Lembaga Keamanan bagi menamatkan konflik di Gaza yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun negara ini pada prinsipnya menyokong segala usaha ke arah keamanan dan kedamaian sejagat, namun terdapat beberapa kebimbangan serius berkaitan cadangan penubuhan jawatankuasa tersebut.

“Kita sokong langkah-langkah untuk menjamin kedamaian. Tetapi kita juga ada beberapa pandangan tentang penubuhan jawatankuasa begitu dan ahli-ahli yang terlibat,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Anwar, antara kebimbangan utama Malaysia ialah penglibatan bekas Perdana Menteri United Kingdom, Tony Blair yang dikaitkan secara langsung dengan serangan di Iraq, selain pendiriannya yang dianggap tidak telus serta tidak adil dalam isu Palestin dan Gaza.

“Ada juga dimasukkan, umpamanya, penyertaan Perdana Menteri Israel dalam jawatankuasa itu. Banyak pengumuman-pengumuman itu belum disahkan.

“Jadi, kita tentunya ada perhatian mesyuarat Jemaah Menteri hari Jumaat ini akan meneliti dan Menteri Luar telah diminta untuk mendapatkan senaraian sepenuhnya.

“Saya juga sedang menghubungi beberapa teman pimpin-pimpin dunia Arab, Turkiye dan lain-lain minta pandangan mereka,” jelasnya lagi.

Beliau menegaskan, cadangan penubuhan jawatankuasa itu belum boleh dianggap sebagai penyelesaian yang munasabah dan adil selagi keganasan di Gaza masih berterusan.

Anwar berkata, isu berkenaan turut dibincangkan dalam pertemuannya dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dua minggu lalu, selain pertemuan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi bagi merangka beberapa langkah bersama.

“Sekarang ini kita hantar utusan kita ke Qatar untuk mendapat maklumat dari segi risikan apa yang harus dilakukan bersama, tetapi yang nyata perdamaian itu walaupun langkah yang baik untuk menekan Israel untuk menghentikan, tapi masih belum berhasil.

“Yang keduanya, cadangan ini hanya cadangan nama-nama jawatankuasa, belum dicerakin apakah matlamat mereka. Kerana bagi saya yang pertama yang harus dilakukan ialah hentikan serangan, keduanya berikan laluan untuk ditambah bantuan makanan dan keselesaan hidup mereka (Gaza),” katanya lagi.

Mengulas cadangan pembangunan perumahan berskala besar di Gaza oleh Presiden Turkiye, Anwar berkata usaha itu masih dihalang oleh Israel sehingga kini sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keikhlasan proses perdamaian yang dicadangkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button