LUAR NEGARA

Israel bom Hospital Nasser, wartawan, petugas perubatan dan puluhan orang awam maut

GAZA – Serangan udara Israel ke atas Hospital Nasser di selatan Semenanjung Gaza semalam meragut sekurang-kurangnya 21 nyawa termasuk lima wartawan, petugas perubatan dan anggota penyelamat yang mencetuskan kecaman hebat di peringkat antarabangsa.

Serangan yang menggunakan taktik kejam ‘double-tap’ iaitu serangan pertama diikuti letupan kedua beberapa minit kemudian disifatkan pakar sebagai strategi untuk menyasarkan orang awam ketika usaha menyelamat sedang dijalankan.

Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Nasser, Dr. Ahmed al-Farra berkata, serangan awal mengenai tingkat atas bangunan sebelum hentaman peluru berpandu kedua ketika wartawan dan pasukan penyelamat bergegas menaiki tangga luar hospital.

Gambar menunjukkan keadaan di Hospital Nasser yang terletak di Khan Younis, selatan Gaza semalam. – Foto CNN

Antara wartawan yang terkorban ialah Mohammad Salama (Al Jazeera), jurukamera Reuters, Hussam al-Masri; wartawan bebas Associated Press, Mariam Abu Daqqa selain Ahmed Abu Aziz dan Moaz Abu Taha.

Wartawan Al Jazeera, Tareq Abu Azzoum yang membuat liputan dari Deir el-Balah berkata, serangan itu mencetuskan panik bukan sahaja kepada penduduk sekitar malah kepada pesakit yang sedang dirawat di hospital.

Serangan berkenaan menerima kecaman keras pertubuhan hak asasi, kumpulan kebebasan media dan tokoh antarabangsa.

Pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese menyifatkan insiden itu sebagai jenayah berulang yang tidak lagi boleh dibiarkan.

“Petugas penyelamat dibunuh ketika menjalankan tugas. Adegan seperti ini berlaku setiap masa di Gaza, sering tidak didokumentasikan. Sampai bila dunia harus berdiam diri? Hentikan pembantaian ini. Hapuskan sekatan, laksanakan embargo senjata, kenakan sekatan,” tegasnya.

Negara sekutu Israel seperti Perancis, Jerman dan United Kingdom turut menggesa siasatan penuh dijalankan berhubung insiden itu.

Kesatuan Wartawan Palestin pula menyifatkan tindakan Israel sebagai ‘perang terbuka terhadap kebebasan media’ dengan tujuan menakutkan wartawan serta menghalang pendedahan jenayah mereka kepada dunia.

Menurut data Al Jazeera, jumlah wartawan Palestin yang terbunuh sejak 7 Oktober 2023 kini meningkat kepada sekurang-kurangnya 273 orang.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) mendesak komuniti antarabangsa memikul tanggungjawab dengan memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas serangan haram berterusan terhadap media di Gaza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button