BERITA SEMASA

Lelaki tunjuk kemaluan kepada wanita diburu polis

SEBERANG PERAI – Polis sedang memburu seorang lelaki yang berkelakuan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluan di tempat awam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Tan Cheng San berkata, siasatan polis mendapati, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 9 pagi semalam di kawasan parkir kenderaan berdekatan Pizza Hut Alma, di sini.

“Suspek atau lelaki terbabit yang tidak diketahui bangsanya dikatakan datang ke tempat tersebut menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna merah dengan nombor pendaftaran palsu.

“Ketika kejadian, suspek menghampiri pengadu iaitu seorang wanita warga tempatan yang berada di dalam sebuah kereta.

“Dia (suspek) kemudian membuka zip seluar dan menunjukkan kemaluannya kepada pengadu sebelum beredar tidak lama kemudian,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, rakaman video mengenai perbuatan lelaki itu tular selepas dimuat naik ke dalam laman Twitter kira-kira pukul 9 malam tadi.

Jelas ACP Tan, susulan kejadian berkenaan, pengadu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Mertajam di sini dan kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Polis mengalu-alukan kerjasama daripada orang awam untuk menyalurkan maklumat berhubung kejadian tersebut kepada pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Yusrashidi Yussof di talian 017-4336334 atau berhubung dengan mana-mana balai polis yang berhampiran,” ujar beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button