JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki OKU didakwa bunuh bapa, diperintah jalani penilaian psikiatri

KOTA BHARU – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental yang didiagnosis menghidap Skizofrenia didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bapanya dalam kejadian di Kampung Baung Bayam, baru-baru ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Azwan Muhammad, 41, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian bapanya, Muhammad Ishak, 83, di sebuah rumah pada pukul 10.30 pagi, 20 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak melebihi 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati, memetik laporan Metro Online.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nadzir Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Tengku Shazuan Tengku Sarifuddin dan Ahmad Nizam Mohamed.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon agar tertuduh dihantar menjalani pemeriksaan psikiatri berikutan status kesihatannya, selain memaklumkan laporan kimia dan bedah siasat masih belum diperoleh.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk penilaian psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Tarikh 30 Jun depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II akibat kecederaan parah di kepala selepas dipercayai dipukul anak lelakinya.

Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 petang pada hari kejadian, manakala polis memaklumkan suspek dipercayai bertindak di luar kawalan dan kejadian itu turut disaksikan oleh adiknya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button