Lelaki cedera dipukul kerana enggan bantu angkat tong gas
AMPANG JAYA – Seorang lelaki cedera di kepala hanya kerana enggan membantu mengangkat tong gas.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam dalam kejadian pada pukul 3.30 petang di Taman Putra dekat sini Jumaat lalu itu, mangsa yang berusia 36 tahun terserempak dengan suspek yang hampir jatuh ketika membawa tong gas.
“Mangsa yang bekerja sebagai penghantar barang itu kemudian membantu lelaki itu daripada terjatuh namun suspek meminta mangsa mengambil tong gas dan meletak di atas motosikalnya.
“Mangsa bagaimanapun enggan berbuat demikian kerana mempunyai masalah tulang belakang. Suspek menjadi berang dan bertindak agresif dengan mengacukan pistol mainan kepada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Azam berkata, suspek juga memukul mangsa dengan topi keledar di bahagian dahi sehingga mendatangkan kecederaan.
“Mangsa kemudian membuat laporan berhubung kejadian.
“Susulan itu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berjaya menahan suspek berusia 31 tahun di Kampung Tasik Permai Ampang semalam.
“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau. Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







