BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

KPM peruntuk RM5 juta pasang CCTV, tangani disiplin dan kukuh keselamatan sekolah

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan tambahan RM5 juta bagi pemasangan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di sekolah seluruh negara sebagai langkah memperkukuh aspek keselamatan serta menangani isu disiplin murid.

KPM dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, langkah itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat melibatkan sekolah yang dikenal pasti mempunyai keperluan mendesak.

“Peruntukan ini adalah tambahan kepada RM3 juta yang telah disalurkan sebelum ini bagi tujuan pemasangan CCTV di sekolah,” katanya.

Selain itu, sebanyak 10,096 guru baharu termasuk lebih 500 Guru Bimbingan dan Kaunseling akan ditempatkan di sekolah menjelang November ini bagi memenuhi keperluan semasa serta memperkukuh sokongan psikososial murid.

Kementerian turut mengumumkan pelantikan 600 Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa dalam kalangan personel MySTEP untuk membantu meningkatkan pemantauan keselamatan pelajar asrama serta mengurangkan beban tugas warden sedia ada.

Bagi memperkukuh kawalan di sekolah, Jawatankuasa Pemuafakatan di peringkat sekolah akan diperkasa melalui kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut merangkumi fungsi Pegawai Penghubung Sekolah.

“PDRM akan melaksanakan pemantauan keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaan KPM,” katanya.

Fungsi ‘Smart Support Team’ di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga akan dipertingkatkan bagi membantu guru menangani isu psikososial dalam situasi krisis.

KPM berkata, latihan dan pendedahan berterusan akan diberikan kepada guru bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan di sekolah, selain memperkukuh peranan Pengetua, Guru Besar dan Jawatankuasa Disiplin dalam menangani masalah disiplin murid.

“Pada masa ini, peraturan dan garis panduan sedia ada turut melibatkan kuasa merotan murid, menggantung dan membuang sekolah.

Pengetua serta Guru Besar boleh menurunkan kuasa kepada guru untuk mengambil tindakan disiplin berdasarkan keperluan,” katanya.

KPM turut menjelaskan pihaknya sedang menggubal semula peraturan disiplin murid serta meneliti semula Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) supaya digunakan secara proaktif dalam pengurusan disiplin sekolah.

Selain itu, kementerian mahu institusi pendidikan memberi tumpuan kepada suara warga sekolah melalui sesi dialog bersama murid dan guru bagi mengenal pasti keperluan serta isu berbangkit.

“Inisiatif ‘kotak suara murid’ akan dilaksanakan selaras dengan advokasi suara kanak-kanak seperti disyorkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF),” katanya.

Dalam pada itu, Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat bagi melindungi kebajikan murid di sekolah.

KPM turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuh program saringan kesihatan mental bagi murid Tahun Satu hingga Tingkatan Enam termasuk intervensi dan sokongan psikososial berterusan.

Kementerian menegaskan komitmen berterusan untuk meningkatkan keselamatan institusi pendidikan serta menangani isu disiplin murid secara holistik.

“Semua pihak diseru bekerjasama memastikan hasrat mewujudkan ekosistem selamat di semua institusi pendidikan dapat direalisasikan,” jelas kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button