KPM bakal perkenal co-teaching, 2 guru dalam kelas
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan kaedah ‘co-teaching’ atau pengajaran bersama dua guru dalam satu kelas sebagai antara pendekatan baharu yang bakal dilaksanakan dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
Memetik laporan BH Online, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia akan diperkenalkan di seluruh negara bagi menekankan keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembentukan karakter pelajar.
Katanya, kaedah ‘co-teaching’ dilaksanakan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) menjadi lebih menarik serta berkesan kerana ia memberi ruang guru menjadi lebih kreatif dan interaktif dalam melaksanakan PdP.
“Dalam kaedah ‘co-teaching’, dua guru bekerjasama dalam satu kelas, ia bukannya seorang guru dibantu pembantu pengajar, tetapi gabungan dua tenaga pengajar setara yang memainkan peranan bagi menjadikan sesi pembelajaran lebih berkesan dan menarik minat pelajar.
“Kita yakin kaedah ‘co-teaching’ membabitkan interaksi aktif dalam kelas ini dilihat sebagai jalan terbaik untuk memastikan setiap pelajar mendapat perhatian sewajarnya, sekali gus dapat mengatasi masalah keciciran pembelajaran.
“Selain itu, berbeza dengan kurikulum lama yang menekankan nilai hanya dalam subjek Pendidikan Islam atau Moral, kurikulum baharu ini nanti juga menuntut semua guru sama ada Sains, Bahasa Inggeris, Matematik atau subjek lain mengintegrasikan nilai dan karakter dalam pengajaran masing-masing,” katanya kepada BH dalam pertemuan di pejabatnya, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan KPM memperuntukkan masa khusus selama 60 minit seminggu bagi pelaksanaan Program Pembentukan Karakter dalam Kurikulum Persekolahan 2027 yang bakal membabitkan murid sekolah rendah dan menengah.
KPM berkata, program itu akan disediakan dalam jadual waktu persekolahan bagi membolehkan aktiviti pembentukan karakter dilaksanakan secara terancang dan berfokus, sekali gus memberi tumpuan terhadap penghayatan nilai, tingkah laku positif serta penerapan adab dan akhlak dalam konteks kehidupan seharian.
Fadhlina berkata, pembaharuan dalam kurikulum sekolah bermula sesi 2027 itu dibuat tanpa membabitkan perubahan terhadap teras pendidikan negara, sebaliknya hanya mengubah pendekatan supaya seiring perkembangan zaman dengan tumpuan terhadap kemahiran dan pembelajaran bersepadu.
“Perubahan hanya berlaku dari segi pendekatan cara pengajaran, contohnya pembelajaran bersepadu dibuat iaitu pelajar boleh belajar subjek Bahasa Inggeris, Sains dan muzik dalam satu sesi pembelajaran yang diubahsuai menjadi lebih menarik.
“Gabungan dua guru mengajar pada kelas sama dapat menangani masalah kelas padat yang menyebabkan pelajar sukar memberi tumpuan yang akhirnya menyebabkan keciciran.
“Sementara kita melaksanakan intervensi terhadap kemudahan fizikal dan persekitaran sekolah, pendekatan co-teaching ini alternatif terbaik bagi memastikan suasana pembelajaran lebih kondusif dan berkesan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









