Ketua Kuil Shaolin disiasat dakwaan salah guna dana, hubungan sulit
ZHENGZHOU – Ketua Kuil Shaolin, Shi Yongxin berdepan siasatan pihak berkuasa China susulan dakwaan salah guna dana, penyalahgunaan aset kuil serta menjalin hubungan sulit yang bertentangan dengan ajaran Buddha.
Pengurusan Kuil Shaolin berkata, Shi, 60, turut didakwa melanggar prinsip kesucian hidup sami apabila dikaitkan dengan beberapa wanita dan memiliki anak luar nikah.
“Kuil akan mendedahkan maklumat lanjut kepada umum secara berperingkat,” menurut satu kenyataan baru-baru ini.
Shi yang memimpin institusi Buddha berusia lebih 1,500 tahun itu sejak 1999, pernah digelar “Sami CEO” kerana pendekatannya yang mengkomersialkan imej Shaolin termasuk dalam bidang penerbitan, filem, perubatan dan pelancongan.
Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan pernah menerima kritikan selepas dilaporkan menerima sebuah kereta mewah daripada kerajaan tempatan pada 2006 sebagai penghargaan atas sumbangannya kepada sektor pelancongan.
Tahun 2015, nama Shi kembali menjadi perhatian apabila dikaitkan dengan projek pembinaan kompleks hotel bernilai AS$297 juta (RM1.4 bilion) di Australia yang turut merangkumi kuil, akademi kung fu dan padang golf.
Pada tahun sama, seorang bekas anak murid mendakwa Shi menyalahgunakan dana kuil dan mempunyai beberapa anak luar nikah, namun siasatan ketika itu digugurkan oleh pihak berkuasa agama wilayah Henan dua tahun kemudian atas alasan kekurangan bukti.
Menurut laporan akhbar Economic Observer, Shi dibawa oleh polis dari bandar Xinxiang pada Jumaat lalu bagi membantu siasatan.
Sejak itu, keberadaan beliau menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat China selepas tidak lagi aktif di akaun rasmi Weibo sejak Khamis lalu.
Kali terakhir beliau muncul di khalayak adalah pada 7 Julai lalu semasa menghadiri satu mesyuarat sami, menurut laman rasmi Kuil Shaolin.
Sepanjang hampir tiga dekad menerajui Kuil Shaolin, Shi sering dikritik oleh komuniti Buddha dan penggiat seni mempertahankan diri kerana menjadikan kuil itu sebagai entiti perniagaan moden, termasuk membuka lebih 50 pusat kebudayaan Shaolin di luar negara.
Rekod laman perniagaan Qichacha turut mendedahkan beliau terlibat dengan lapan entiti perniagaan, tiga daripadanya masih aktif manakala lima lagi telah dibubarkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








