BERITA SEMASA

Kerajaan tidak benarkan mana-mana pihak cetus gangguan keselamatan

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan mengizinkan mana-mana pihak mencetuskan sebarang gangguan keselamatan sepanjang lawatan rasmi pemimpin negara asing ke Malaysia.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pendirian itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.

“Perdana Menteri membuat satu keputusan, pendirian kerajaan untuk tidak mengizinkan mana-mana pihak mencetuskan sebarang bentuk gangguan keselamatan, terutama sewaktu negara akan menerima tetamu dalam masa terdekat.

“Jadi langkah tegas akan diambil untuk pastikan dan jamin keselamatan awam dan juga tetamu negara sentiasa terpelihara,” katanya tanpa menamakan pemimpin asing yang akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia esok.

Menurut Fahmi, kenyataan lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Terdahulu, media melaporkan sebanyak 141 NGO dijangka menyertai Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur.

Penyelaras gerakan, Zamri Vinoth, mengesahkan bahawa pihak polis telah dimaklumkan mengenai acara tersebut mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button