BERITA SEMASA

Kepelbagaian perlu diraikan, bukan dipaksa ikut budaya dominan – Prof Massad

PUTRAJAYA – Masyarakat majmuk hanya mampu berkembang sekiranya setiap komuniti saling menghormati dan menerima kepelbagaian budaya sebagai kekuatan bersama, bukannya memaksa golongan minoriti menyesuaikan diri dengan budaya dominan.

Pandangan itu disuarakan Profesor Dr Joseph A. Massad dari Columbia University ketika menjawab soalan peserta pada sesi soal jawab sempena Syarahan Umum bertajuk Muslim Identity in a Globalised World di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, di sini hari ini.

Beliau berkata, konsep masyarakat berbilang kaum dan agama yang sebenar bukan sekadar menerima perbezaan dari aspek luaran, sebaliknya memberi ruang kepada setiap komuniti menyumbang kepada pembentukan identiti nasional.

Menurutnya, budaya sesebuah negara akan menjadi lebih kaya apabila dibentuk melalui perkongsian nilai, pengalaman dan tradisi pelbagai kumpulan masyarakat.

“Sebuah negara yang benar-benar majmuk sepatutnya membenarkan setiap kumpulan etnik dan agama menyumbang kepada pembentukan budaya bersama, bukan memaksa mereka meninggalkan identiti masing-masing untuk mengikut budaya majoriti.

“Budaya sesebuah negara seharusnya diperkaya melalui kepelbagaian, saling menghormati dan saling memahami antara komuniti yang mempunyai latar belakang budaya serta agama yang berbeza,” katanya.

Prof Massad berkata demikian ketika mengulas soalan mengenai identiti Muslim dalam dunia global serta pengalaman hidupnya sebagai seorang Kristian Arab yang dibesarkan dalam masyarakat majoriti Islam.

Menurut beliau, walaupun berasal daripada keluarga Kristian Arab di Palestin dan Jordan, kehidupan dalam persekitaran majoriti Muslim telah membentuk identiti budayanya.

“Saya seorang Kristian Arab, tetapi dari sudut budaya saya juga seorang Muslim secara budaya.

“Dalam kehidupan seharian, bahasa yang kami gunakan dipenuhi ungkapan seperti ‘Alhamdulillah’, ‘Astaghfirullah’ dan pelbagai amalan yang dikongsi bersama masyarakat Islam,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat Kristian dan Muslim Arab di Palestin berkongsi banyak nilai budaya, bahasa dan pengalaman hidup walaupun berbeza pegangan agama.

Massad turut berkongsi pengalamannya di Amerika Syarikat apabila sering disalah anggap sebagai seorang Muslim hanya berdasarkan latar belakang dan identitinya sebagai seorang Arab.

Katanya, persepsi sedemikian menunjukkan masih wujud stereotaip terhadap masyarakat Arab dan Islam di Barat, terutama selepas tragedi 11 September 2001.

“Walaupun saya menjelaskan bahawa saya bukan Muslim, ramai tetap menganggap saya seorang Muslim. Namun saya tidak melihat perkara itu sebagai masalah kerana saya sentiasa mempertahankan Islam dan menentang sebarang bentuk prejudis terhadap umat Islam,” katanya.

Beliau berpandangan bahawa multikulturalisme di sesetengah negara Barat masih belum mencapai matlamat sebenar kerana penerimaan terhadap kepelbagaian sering terhad kepada aspek luaran seperti pakaian atau amalan tertentu.

Sebaliknya, katanya, masyarakat yang benar-benar inklusif ialah masyarakat yang bersedia belajar antara satu sama lain dan mengiktiraf setiap budaya sebagai sebahagian daripada identiti negara.

Prof Massad berkata, dialog terbuka, rasa hormat dan kesediaan memahami perspektif berbeza merupakan asas penting dalam membina masyarakat yang aman serta mampu menghadapi cabaran dunia yang semakin global.

Syarahan umum itu dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai platform memperkukuh wacana akademik dan menggalakkan perbincangan ilmiah mengenai identiti, budaya serta hubungan antara tamadun dalam dunia moden.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman serta Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Prof Emeritus Dr Azman Bakar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button