BERITA SEMASA

KEMAS jalankan kajian naik taraf TABIKA daif

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sedang melaksanakan kajian menyeluruh bagi menilai keperluan naik taraf dan baik pulih TABIKA KEMAS di seluruh negara.

Kajian itu dijalankan berdasarkan arahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang meminta Memorandum Jemaah Menteri (MJM) disediakan untuk tujuan tersebut.

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, kajian itu bukan sahaja menumpukan kepada kerja-kerja fizikal tetapi turut mengambil kira aspek dasar seperti isu pemilikan tanah, status bangunan yang digunakan secara menumpang, terutama di balai raya serta cadangan perolehan bangunan komersial untuk dijadikan premis TABIKA.

“Kita mahu penyelesaian menyeluruh dicadangkan bagi memastikan pendidikan awal kanak-kanak, khususnya di luar bandar, lebih teratur dan terjamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, aspek penyediaan bekalan elektrik dan sumber air di kawasan pedalaman turut diberi perhatian.

Hanafiah berkata, kajian teliti mengenai penggunaan panel solar, tangki tadahan hujan, atau air bawah tanah akan dilakukan untuk memastikan keperluan asas dapat dipenuhi dengan berkesan.

“Terdapat sebanyak 10,616 kelas TABIKA di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 470 premis adalah disewa, manakala 4,268 premis lagi beroperasi secara menumpang,” katanya lagi.

Langkah itu membuktikan komitmen KEMAS untuk memastikan kanak-kanak di luar bandar mendapat peluang pendidikan awal yang berkualiti setara dengan rakan sebaya mereka di kawasan bandar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button