Kebakaran Pasar Borong Selangor, operasi bomba berdepan pelbagai cabaran
SERDANG – Kebakaran besar berlaku di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan di sini malam tadi, dengan operasi pemadaman berdepan pelbagai cabaran termasuk kekurangan bekalan air apabila lima pili bomba berhampiran tidak dapat digunakan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.04 malam sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.
Menurut beliau, seramai 68 pegawai dan anggota JBPM bersama 67 anggota Bomba Sukarela dikerahkan ke lokasi membabitkan 15 BBP dari Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan bantuan 19 jentera.
Katanya, operasi pemadaman menjadi lebih mencabar apabila berlaku beberapa siri letupan dipercayai dari tong gas pada peringkat awal kejadian, namun kebakaran berjaya dikawal kira-kira pukul 1.20 pagi.

“Operasi pemadaman turut berdepan kekangan apabila lima pili bomba di kawasan berhampiran tidak dapat digunakan kerana berada di bawah seliaan pihak swasta.
“Susulan itu, kita menggunakan sepenuhnya bekalan air daripada jentera dan lori tangki air bomba sepanjang kerja-kerja pemadaman dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











