BERITA SEMASA

Kandungan pornografi masih jadi ancaman usaha wujudkan ruang selamat siber

KUALA LUMPUR – Kandungan pornografi masih menjadi ancaman kepada usaha mewujudkan ruang selamat siber.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pendedahan kepada kandungan pornografi menyebabkan kanak-kanak kini lebih awal aktif dalam hal seksual.

“Percaya atau tidak, kini kanak-kanak lelaki berusia seawal 5 tahun sudah aktif secara seksual.

“Ini kerana, mereka sudah terdedah kepada kandungan pornografi sejak awal lagi,” kata Mohd Shuhaily.

Beliau turut mendedahkan situasi di mana seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun sudah terlibat dalam seks rambang hanya kerana mahu melangsaikan hutang.

“Selain jenayah siber lain, pornografi juga perlu dibanteras kerana ia meruntuhkan moral generasi kita,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika muncul sebagai panelis yang membicarakan mengenai Menangani Bahaya Online, di sini hari ini.

Mohd Shuhaily turut berkata, ancaman jenayah siber seperti penipuan dan judi atas talian yang semakin menjadi-menjadi turut menjadi ancaman.

“Dalam kes membabitkan rentas sempadan, kita hanya ada mangsa, namun pengendalinya berada di luar negara. Ini menyukarkan kami untuk bertindak,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya negara-negara yang berada dalam kesatuan, sebagai contoh ASEAN, mempunyai satu rangka kerja kawal selia yang membolehkan pihak berkuasa negara terlibat bertindak ke atas pelaku dalam lingkungan undang-undang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button