Kanak-kanak Palestin pamer kreativiti, luah ekspresi diri akibat perang
ISTANBUL – Puluhan kanak-kanak Palestin di Gaza menyambut Hari Kanak-Kanak Sedunia kelmarin dengan mempamerkan lukisan di atas runtuhan rumah yang musnah di bandar selatan Khan Younis.
Melalui karya seni itu, mereka meluahkan realiti getir yang dialami sepanjang dua tahun peperangan dengan Israel.
Acara itu dianjurkan oleh Majlis Kanak-Kanak Palestin yang ditubuhkan dan disokong oleh Pusat Hak Asasi Manusia Palestin, sejajar dengan sambutan tahunan pada 20 November.

Melalui lukisan mereka, kanak-kanak itu menggambarkan hak-hak yang telah hilang, rumah yang tidak lagi mereka miliki dan gangguan terhadap kehidupan harian mereka sepanjang tempoh peperangan yang digelar sebagai genosid oleh Israel.
Semasa pameran, sekumpulan gadis mengenakan pakaian tradisional Palestin menyanyikan lagu dengan lirik: “Wahai dunia, tanahku dibakar… tanah kebebasan dicuri,” sebagai luahan penderitaan mereka yang berterusan.
Pengarah Latihan di Pusat Hak Asasi Manusia Palestin, Abdel Halim Abu Samra berkata, acara menjadi ruang kanak-kanak meluahkan ekspresi yang dirasai mereka.
“Kanak-kanak menggunakan acara ini untuk mencerminkan realiti yang mereka lalui selepas kemusnahan sistematik menjejaskan setiap aspek kehidupan di Gaza serta genosid yang memberi kesan kepada batu, pokok dan manusia,” katanya kepada agensi berita Anadolu.
Tambah beliau, hak kanak-kanak untuk pendidikan, kesihatan, makanan dan kehidupan selamat ‘telah dilanggar’ secara sistematik sepanjang dua tahun lalu.

Seorang ibu kepada peserta, Yareen Abu al-Naja berkata, anak-anak di Gaza menghabiskan dua tahun lalu melihat anggota tubuh manusia setiap hari.
“Mereka tidak menonton rancangan televisyen atau filem tetapi menghidu darah, bukan bunga. Segala bentuk kehidupan normal telah lama hilang di Gaza,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang kanak-kanak yang menyertai acara tersebut, Fatima al-Tabesh berkongsi pengalamannya menghadapi ketakutan dan kelaparan semasa peperangan.
“Terdapat tempoh lebih sebulan ketika kami sangat kelaparan dan kami takut pada waktu malam kerana serangan meriam,” ungkapnya.
Kelmarin, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menulis di platform X bahawa selepas dua tahun keganasan, kanak-kanak Gaza akhirnya dapat menghirup saat-saat ketenangan.

“Gencatan senjata yang rapuh memberi peluang kepada kanak-kanak untuk bernafas, berinteraksi, bermain dan mula sembuh.
“Namun trauma, kecederaan, kesedihan dan zaman kanak-kanak yang hancur memerlukan masa lebih lama untuk pulih,” tegasnya.
Sejak Oktober 2023, tentera Israel dilaporkan telah membunuh hampir 70,000 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, mencederakan lebih 170,800 individu serta meruntuhkan sebahagian besar wilayah tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











