LUAR NEGARA

‘Kami percaya, bantuan Allah akan datang. Doakan kami kuat’

CYBERJAYA – “Kepada semua penduduk dunia, doakan kami selamat.”

Demikian kata-kata seorang penduduk Gaza City, Ahmad (bukan nama sebenar) kepada pendengar Spaces di X (Twitter) yang dianjurkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) luar negara, pagi tadi.

Ciapan Ahmad mengenai suasana di hospital sumbangan negara Indonesia di Gaza City, hari ini.

Untuk rekod, Spaces merupakan satu forum bagi bertukar pandangan mengenai topik tertentu di X (Twitter).

Perbualan selama 15 minit tersebut tidak berapa lancar kerana isyarat internet di Gaza City tidak berapa stabil.

Ketika perbualan tersebut, turut kedengaran dentuman bom beberapa kali.

Kata Ahmad, kawasan kejiranan bersebelahan kawasan kediamannya telahpun dibom rejim zionis beberapa hari lalu.

Lokasi sebenar beliau dirahsiakan atas sebab keselamatan.

“Suasana amat genting sekarang. Anak-anak sudah kelaparan, bekalan makanan dan minuman sudah terputus,” kata Ahmad menerusi seorang penterjemah.

Ketika ditanya mengenai bantuan, Ahmad berkata penduduk Gaza City tidak menerima sebarang bantuan kemanusiaan kerana kawasan tersebut sudah dikepung sepenuhnya rejim zionis.

“Rejim zionis tidak benarkan sebarang bekalan masuk. Jadi kami terpaksa bertahan dengan apa yang kami ada.”

Dan ketika ditanya mengenai kenapa dia tidak berpindah ke selatan menerusi koridor selamat yang diwujudkan rejim zionis, Ahmad berkata:

“Ini rumah saya, jadi kenapa saya perlu tinggalkan? Kami tahu, jika kami keluar dari kawasan ini, kami akan kehilangannya.

“Saya rela berada di sini kerana ini harta, tanah air saya,” tegas Ahmad.

Dan ketika ditanya mengenai pesanan beliau, Ahmad berkata, beliau percaya rakyat Palestin akan berjaya membebaskan tanah air mereka satu hari nanti.

“Doakan supaya kami diberi kekuatan menghadapi semua ini. Sebahagian besar dari kami sudah menerima hakikat bahawa kami akan mati pada bila-bila masa sahaja.

“Kami percaya, bantuan Allah akan datang. Doakan kami kuat,” kata Ahmad lagi.

Setakat ini, angka kematian akibat kegilaan rejim Zionis telah melepasi 11,000 orang termasuk lebih 4,500 kanak-kanak kerana tempat selamat seperti masjid, gereja, pusat media, hospital dan pasar raya kebanyakannya telah dibom.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button