JENAYAH & MAHKAMAH

Suami, isteri bersama tiga anak perempuan rentung dalam kebakaran di Raub

RAUB – Lima sekeluarga ditemukan rentung selepas rumah yang mereka diami di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.44 pagi itu, mangsa yang terdiri daripada pasangan suami isteri dan tiga anak perempuan dipercayai terperangkap selepas kediaman jenis separuh kekal berkeluasan kira-kira 40 x 30 kaki persegi itu terbakar sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bergegas ke lokasi kejadian.

Rentung Raub
Anggota penyelamat menemukan mayat mangsa yang terkorban dalam kejadian tersebut.

Menurut beliau, jentera bomba tiba pada pukul 4.15 pagi dan berjaya mengawal kebakaran kira-kira 33 minit kemudian, iaitu pada 4.48 pagi.

“Kebakaran memusnahkan 100 peratus struktur rumah tersebut. Turut terbakar tiga kereta dan tiga motosikal.

“Pasukan melaksanakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada tangki pam jentera,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi turut dibantu anggota BBP Kuala Lipis dengan kekuatan keseluruhan sembilan anggota dari Raub bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS), serta tambahan lima anggota dan sebuah FRT dari Lipis.

Ketua Zon 3 Lipis, Ketua Balai, pegawai forensik dan pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Raub turut berada di lokasi bagi membantu siasatan.

Semua mayat mangsa dibawa ke Hospital Raub bagi proses pengecaman dan bedah siasat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button