BERITA SEMASA

Semua IPG diarah tangguh aktiviti lasak

IPOH – Semua Institusi Pendidikan Guru (IPG) diarah menangguhkan sementara semua aktiviti lasak termasuk aktiviti air dengan serta-merta susulan kejadian dua pelajar IPG lemas ketika menjalani aktiviti berkayak di Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah, malam kelmarin.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad ketika menziarahi jasad serta keluarga dua mangsa itu di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, semalam.

“Semalam juga, pihak Ketua Pengarah Pendidikan sudah mengarahkan supaya semua kampus IPG menghentikan aktiviti lasak dan aktiviti air sehingga pengumuman seterusnya oleh pihak kementerian.

“Ini adalah tindakan segera bagi memastikan ibu bapa kepada anak-anak kita di IPG dapat tenang serta juga mendapat respon segera daripada pihak KPM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyerahan Bas kepada sekolah di negeri Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun, Kampung Dato’ Ahmad Said, di sini hari ini.

Dalam majlis sama, Kah Woh turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM50,000 daripada KPM bagi tujuan menaik taraf surau sekolah berkenaan.

Terdahulu, laporan media semalam menyebut, dua pelajar IPG Kampus Perlis iaitu mendiang Christopher Ling Jia Siang, 21, dan mendiang Joey Ling Lin Siang, 20, lemas ketika melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka kelmarin apabila kayak dinaiki mereka dipercayai terbalik susulan arus deras.

Kah Woh seterusnya berkata, buat masa ini pihak berkuasa sedang menyiasat punca kejadian tersebut.

“Siasatan polis dan dalaman juga sedang dilaksanakan. Untuk (siasatan) polis, kita tinggalkan kepada mereka untuk siasat tetapi bagi siasatan dalaman, kita akan menyiasat dari semua sudut dan semua isu yang berbangkit.

“Sememangnya pada malam tadi, saya sendiri turun ke IPG Kangar untuk bersama-sama dengan anak-anak yang terlibat dan mendengar daripada anak-anak terbabit. Siasatan akan diteruskan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button