Lebih 400 rekaan hijab, 300,000 busana raya ARIANI menjelang Aidilfitri 2026
KUALA LUMPUR – Lebih 300,000 helai busana raya disediakan ARIANI bagi menyambut Aidilfitri 2026, sekali gus mengukuhkan komitmen jenama fesyen Muslimah itu dalam memenuhi permintaan pelanggan menjelang musim perayaan.
Penyediaan koleksi berskala besar itu diperkenalkan menerusi Pertunjukan Fesyen Warna Lebaran ARIANI 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam, yang menampilkan tema warna raya terbaharu jenama berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Ariani Textiles and Manufacturing (M) Sdn. Bhd., Datin Seri Farah Haryani berkata, Aidilfitri membawa makna kebersamaan yang mendalam, bukan sekadar tradisi tahunan.
“Aidilfitri adalah saat untuk meraikan kebersamaan bersama insan tersayang. Persalinan baju raya bukan sekadar pakaian, tetapi lambang kegembiraan dan kenangan bermakna bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan sama, ARIANI memaklumkan pertunjukan fesyen berprestij itu meraikan keindahan warna sebagai simbol keanggunan, kebersamaan dan kegembiraan Aidilfitri, diterjemahkan melalui rekaan hijab serta busana moden dan elegan.
“Lebih 100 rekaan hijab dan busana dipersembahkan di pentas peragaan dengan motif alam, flora serta cetakan abstrak kontemporari, digabungkan material dan teknik cetakan yang pelbagai.
“Koleksi Warna Lebaran ARIANI turut mengetengahkan warna tular seperti strawberry matcha (merah jambu hijau), teal (biru kehijauan), dan lime green (hijau limau) yang disesuaikan dengan cita rasa semasa tanpa mengabaikan identiti klasik jenama itu,” katanya.
Terdahulu, pertunjukan berkenaan disaksikan lebih 1,000 tetamu jemputan termasuk pelanggan VVIP, rakan media, selebriti dan pempengaruh tempatan.

Dalam pada itu, koleksi hijab Warna Lebaran ARIANI menampilkan lebih 400 variasi, merangkumi bawal satin, twill dan voile bercorak, selendang pelbagai material serta hijab polos dengan perincian berlian dan sulaman.
ARIANI LUXE pula mengetengahkan lebih 100 rekaan eksklusif dihiasi kain renda Perancis dan kristal Swarovski, dengan Elly Mazlein tampil sebagai Muse ARIANI LUXE 2026.
Pertunjukan itu turut mengekalkan Lisa Surihani, Bella Dally dan Uyaina Arshad sebagai duta jenama, selain memperkenalkan Fyza Kadir sebagai wajah ARIANI RTW Premium.
Kolaborasi tahun kedua bersama Liberty London menjadi kemuncak acara menerusi pengenalan 16 cetakan eksklusif yang menggabungkan sentuhan tradisi tempatan dan estetika antarabangsa.
Selain koleksi wanita, ARIANI turut memperkenalkan koleksi lelaki ARYAN dengan Bront Palarae sebagai duta baharu serta kepulangan semula Mira Filzah dalam kempen tahun ini menambah seri pada koleksi yang dipersembahkan.
Kesemua koleksi Aidilfitri ini sudah berada di pasaran sempena jualan pra-Ramadan dan jualan mega lebaran yang berlangsung sehingga malam raya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







