Guru maut kereta terbabas dalam parit
BALING – Seorang guru lelaki menemui ajal selepas kereta yang dipandu terbabas ke dalam parit dalam satu kejadian di Kampung Teluk Sungai Durian, Bongor, di sini petang, semalam.
Kemalangan pada pukul 2.40 petang itu menyebabkan mangsa, Saiful Yazan Hasan, 44, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Abang mangsa, Hamdan Jamil, 49, berkata, arwah adiknya tinggal bersama isteri dan dua anaknya di Sungai Petani tetapi mengajar di Maktab Mahmud Kuala Ketil.

“Saya terkejut apabila diberitahu adik meninggal dunia dalam kemalangan. Kali terakhir saya bertemu arwah pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Tambah beliau, Allahyarham dalam perjalanan pulang ke rumah emak mereka di Kampung Banggol Leban yang terletak berhampiran dengan kawasan kemalangan.
“Arwah memang rajin dan dia sering pulang menziarahi emak jika ada kelapangan waktu,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada pukul 2.48 petang.
“Sepasukan anggota dari BBP Baling yang diketuai Pegawai Bomba Ramdan Rusdan Fadhil ke lokasi dan mendapati mangsa masih berada dalam kereta Perodua Viva.
“Kereta itu terbabas dan masuk ke dalam parit menyebabkan pintu di sebelah pemandu tidak dapat dibuka. Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



