BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Rumah runtuh dihanyut arus deras Sungai Ketil, 7 sekeluarga nyaris maut

BALING – Tujuh individu nyaris maut apabila sebahagian rumah yang didiami mereka sekeluarga runtuh dan dihanyutkan arus deras Sungai Ketil, di sini dalam satu kejadian malam tadi.

Insiden yang berlaku sekitar pukul 10 malam itu menyaksikan tujuh penghuni termasuk lima dewasa dan dua kanak-kanak berada di dalam rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat dari arah dapur.

Bahagian dapur, bilik tidur serta bilik air rumah mereka dilaporkan runtuh selepas tebing sungai di belakang kediaman itu terhakis akibat hujan lebat berterusan.

Ketika kejadian, keluarga berkenaan baru sahaja selesai menikmati makan malam.

Mereka bernasib baik terselamat apabila runtuhan berlaku berhampiran tempat mereka makan sebelum itu.

Related Articles

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 12.30 pagi.

“Rumah mangsa terletak berhampiran tebing Sungai Ketil. Ketika kejadian, hujan lebat menyebabkan air sungai melimpah dan mengalir deras hingga menghakis struktur tanah di bawah rumah,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata, dua kanak-kanak masing-masing berusia tiga dan lima tahun dilaporkan trauma akibat kejadian dan terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarga.

Menurut Zulkhairi, keluarga terbabit masih berada di kediaman mereka kerana pusat pemindahan sementara (PPS) belum dibuka setakat ini.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa keretakan lain pada struktur rumah berkenaan.

“Pihak kami telah menasihatkan keluarga tersebut supaya berpindah segera bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button