BERITA SEMASA

Graduan UPM bantu selamatkan wanita warga emas rebah sejurus tamat konvokesyen

SERDANG – Seorang graduan perubatan bertindak pantas menyelamatkan seorang wanita warga emas yang rebah sebaik beliau keluar dari dewan selepas selesai Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49 Sidang 2, di sini semalam.

Muhammad Husni Abu Bakar, 25, graduan Program Doktor Perubatan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) tidak menyangka momen selepas menerima ijazahnya di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) itu akan menjadi pengalaman menyentuh hati apabila beliau menjadi individu pertama membantu mangsa.

Muhammad Husni merupakan graduan dari FPSK, UPM yang kini menjalani latihan siswazah perubatan di Hospital Seri Manjung, Perak.

Menurutnya, kejadian berlaku berhampiran dewan tersebut apabila sebuah keluarga India panik meminta bantuan selepas nenek mereka berusia sekitar 80 tahun, rebah secara tiba-tiba.

“Saya berada berhampiran lokasi kejadian dan terus membantu. Perkara pertama yang saya lakukan ialah memastikan keadaan asas kecemasan yang dipelajari iaitu airway, breathing dan circulation (ABC).

“Saya dapati pernafasannya masih ada walaupun lemah,” katanya memetik laporan di laman web UPM.

Beliau segera mengalihkan mangsa ke posisi bersandar, meminta orang ramai mengosongkan kawasan untuk pengudaraan lebih baik dan mendapatkan kipas mudah alih kerana bimbang kemungkinan strok haba.

Muhammad Husni kemudian meluruskan kaki mangsa bagi melancarkan peredaran darah.

“Saya tepuk dan bercakap perlahan dengan nenek tersebut sambil menyemak nadinya. Ahli keluarga memaklumkan mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung,” katanya lagi.

Sejurus kejadian, Muhammad Husni turut meminta orang awam menghubungi ambulans namun keluarga mangsa segera membawa kereta ke lokasi dan terus bergegas ke hospital selepas menerima nasihat daripadanya.

Beliau dalam masa sama mengingatkan orang ramai agar tidak panik berdepan kecemasan melibatkan warga emas kerana tindakan asas seperti memeriksa pernafasan, nadi dan tahap respons mangsa boleh menyelamatkan nyawa sementara menunggu bantuan profesional.

“Jika tiada kepakaran, cari individu sekeliling yang boleh membantu dan yang paling penting fahami keadaan sekeliling dan kawal panik,” pesan beliau.

Muhammad Husni yang kini menjalani latihan siswazah perubatan (housemanship) di Hospital Seri Manjung, Perak berkata, minatnya dalam bidang perubatan mula berkembang sejak Tingkatan Tiga sebelum semakin kuat selepas kehilangan ayah akibat Covid-19.

“Kehilangan ayah menguatkan tekad saya untuk menjadi doktor yang mampu mengubah masa depan seseorang.

“Saya akui kerjaya ini menuntut keikhlasan serta ketahanan jiwa yang tinggi,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button