LUAR NEGARA

Gempa bumi kuat gegar Kamchatka, Rusia

MOSCOW – Gempa bumi kuat berukuran 7.1 magnitud melanda berhampiran pantai timur wilayah Kamchatka, Rusia awal pagi tadi, menurut Pusat Penyelidikan Geosains Jerman (GFZ).

Gempa tersebut berlaku pada kedalaman 10 kilometer (km), namun Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan magnitud lebih besar iaitu 7.4 dengan kedalaman 39.5km.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik dalam kenyataannya memaklumkan terdapat ancaman tsunami berpotensi berlaku di sepanjang kawasan pantai dalam lingkungan 300km dari pusat gempa, menurut agensi berita Anadolu.

Berikutan itu, pihak berkuasa Rusia segera mengeluarkan amaran tsunami di sepanjang pesisir Kamchatka, selain meletakkan semua perkhidmatan kecemasan dalam keadaan berjaga-jaga serta menggesa penduduk menjauhi kawasan berisiko.

Kawasan Petropavlovsk-Kamchatsky yang menempatkan pangkalan kapal selam Rybachiy milik Tentera Laut Rusia serta pangkalan udara Yelizovo juga dilaporkan berada dalam pemantauan ketat.

Bagaimanapun, di Jepun yang terletak di barat daya Semenanjung Kamchatka, Agensi Meteorologi Jepun memaklumkan tiada amaran tsunami dikeluarkan, lapor penyiar NHK.

Untuk rekod, pada 30 Julai lalu, semenanjung berkenaan pernah digegar gempa bumi paling kuat dalam sejarahnya dengan 8.8 magnitud diikuti lebih 100 gegaran susulan melebihi 5.0 magnitud yang direkodkan saintis Rusia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button