BERITA SEMASALUAR NEGARA

Dua pendaki maut ketika cuba tawan puncak Aoraki di NZ

QUEENSTOWN – Dua pendaki maut ketika cuba menawan puncak Aoraki di pergunungan Mount Cook, puncak tertinggi di New Zealand, manakala dua lagi daripada kumpulan sama berjaya diselamatkan, menurut pihak berkuasa negara itu.

Menurut Ketua Polis Kawasan, Inspektor Vicki Walker, pasukan mencari dan menyelamat kini berusaha membawa turun mayat kedua-dua mangsa dalam keadaan persekitaran alpine yang amat mencabar manakala identiti mangsa masih belum didedahkan.

Akhbar Timaru Herald melaporkan, kedua-dua pendaki yang maut itu terikat dengan tali keselamatan ketika mereka jatuh berhampiran puncak Aoraki.

“Pihak berkuasa menerima maklumat lewat malam tadi (waktu tempatan) bahawa empat pendaki memerlukan bantuan di gunung berkenaan yang terletak di Pulau Selatan New Zealand.

“Dua daripada mereka berjaya diselamatkan dengan helikopter awal pagi Selasa dan dilaporkan tidak cedera,” menurut laporan itu.

Operasi mencari dua pendaki yang terkorban diteruskan sepanjang malam menggunakan dua buah helikopter sebelum mereka ditemui meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Aoraki yang berketinggian 3,724 meter merupakan sebahagian daripada Banjaran Alps Selatan, kawasan berglacier yang terkenal dengan cuaca tidak menentu, risiko runtuhan salji dan rekahan glasier.

Kawasan itu sering menjadi tumpuan pendaki berpengalaman dari dalam dan luar negara.

Sejak awal abad ke-20, lebih 240 kematian direkodkan di gunung tersebut dan taman negara sekitarnya, termasuk puluhan pendaki yang tidak pernah ditemui semula.

Antara kes yang kekal misteri ialah tiga pendaki, dua dari Amerika Syarikat (AS) dan seorang dari Kanada yang dipercayai maut di Aoraki pada Disember 2024. Dua warga AS itu, Kurt Blair, 56, dari Colorado dan Carlos Romero, 50, dari California, merupakan jurupandu alpine bertauliah.

Mereka dilaporkan hilang selama lima hari sebelum pihak berkuasa menamatkan operasi mencari setelah penemuan beberapa barangan peribadi mengukuhkan kemungkinan mereka terjatuh ke kawasan cerun curam dan maut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button