Didakwa hina institusi diraja di Instagram, peniaga mengaku tidak bersalah
SEPANG – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik menerusi aplikasi Instagram, tahun lalu.
Tertuduh, Sanuzi Kernain Mohd Azman membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan akaun Instagram “boss.s_k” secara sedar memuat naik kenyataan berunsur jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Antara kandungan dimuat naik adalah berkaitan dakwaan penggunaan kuasa bagi mendapatkan projek tertentu, yang menyentuh institusi diraja.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 13 November 2024 dan kandungan berkenaan dilihat pada 21 Februari 2025 kira-kira jam 5.15 pagi di Aras 8, Menara MCMC 1, Jalan Impact Cyber 6, Cyberjaya, dalam daerah Sepang, Selangor.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nazrul Nizam Mohd Zameri, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Badrul Mushani Mustapa Al-Bakari dan A Rahman Mohd Nasir.
Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000, namun pihak pembelaan memohon jumlah lebih rendah dengan alasan tertuduh hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi menampung kehidupan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 5 Mei 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Dalam prosiding sama, seorang lagi individu, Nazrul Nizam Mohd Zami dilaporkan gagal hadir ke mahkamah.
Susulan itu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya dan menetapkan 5 Mei depan untuk pendengaran berkaitan waran tersebut.
Pertuduhan terhadap individu berkenaan masih belum dibacakan berikutan ketidakhadirannya di mahkamah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








