Cromok pilih sistem ‘In-Ear Monitor’, demi ketepatan muzik dan kepuasan penonton
KUALA LUMPUR – Pernahkan anda terfikir bagaimana seorang ahli kumpulan muzik ‘mendengar’ dan ‘mengikuti’ rentak lagu yang dimainkan ketika beraksi di atas pentas besar dengan sistem bunyi yang pastinya cukup bigit?
Dalam dunia persembahan pentas, permasalahan itu berakhir melalui teknologi ‘in-ear monitor’ (IEM) yang diperkenalkan sekitar tahun 90-an melalui artis pelopor seperti Stevie Wonder.
Melalui teknologi itu, pemuzik tidak lagi bergantung kepada pembesar suara di pentas untuk mendengar vokal, alat muzik atau tempo, sebaliknya menerima bunyi setiap instrumen melalui alat khas secara terus ke telinga.
Perubahan landskap industri muzik global hari ini menyaksikan semakin ramai artis beralih kepada teknologi digital itu dalam persembahan.
Kumpulan legenda metal tanah air, Cromok, tidak terkecuali apabila memilih untuk mengadaptasi pendekatan digital sepenuhnya bagi meningkatkan kualiti serta kecekapan persembahan mereka.
Gitarisnya, Karl berkata, penggunaan teknologi tersebut bukan sahaja meningkatkan mutu bunyi, malah memudahkan operasi produksi.
“Ramai artis antarabangsa kini tidak lagi menggunakan pembesar suara besar di atas pentas, sebaliknya beralih kepada IEM sepenuhnya,” katanya.
Menurut beliau, faktor kos turut menjadi antara pendorong utama perubahan itu memandangkan penggunaan peralatan analog konvensional memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
“Jika menggunakan amplifier dan speaker tradisional, kos boleh mencecah sehingga RM40,000 hingga RM45,000 bagi satu set. Tapi dengan sistem digital seperti Kemper Stage Profiler, kosnya jauh lebih rendah dan boleh terus disambungkan ke mixer,” katanya.

Percubaan awal menggunakan IEM pada 2023 bagaimanapun kurang berjaya sebelum mereka beralih kepada sistem beracuan khas yang memberikan kejelasan bunyi lebih baik.
Kini, Cromok menggunakan gabungan teknologi termasuk IEM profesional, Kemper Stage Profiler serta dram digital keluaran jenama tempatan, Sudoku.
Pendekatan tersebut membolehkan semua instrumen disalurkan terus ke sistem audio tanpa penggunaan mikrofon berlebihan, sekali gus mengurangkan gangguan dan limpahan bunyi.
“Hanya satu mikrofon digunakan untuk vokal, selebihnya terus ke mixer. Ini menjadikan bunyi lebih bersih dan konsisten,” jelas Karl.
Dalam pada itu, beliau menegaskan penggunaan teknologi moden tidak mengubah identiti muzik Cromok.
“Teknologi tidak mengubah ‘soul’ muzik. Ia tetap datang daripada artis,” katanya.
Cromok juga memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam proses kreatif, termasuk penghasilan muzik dan visual.
“Proses kini lebih fleksibel berbanding dahulu. Kita boleh sunting dan susun muzik dengan lebih cepat. AI pula banyak membantu dalam menjana idea visual, malah muzik video terbaharu kami dihasilkan sepenuhnya menggunakan teknologi itu,” katanya.
Menurut Karl, pendekatan digital itu juga bakal memberi pengalaman yang lebih baik kepada pendengar khususnya dari segi ketepatan, keseimbangan dan konsistensi bunyi alat muzik.
Kelainan itu katanya bakal dipersembahkan kepada peminatnya melalui konsert Cromok yang akan berkongsi pentas bersama Barbarik pada Konsert Black On White pada 27 Jun ini di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Tiket kini dijual pada harga bermula RM175 sehingga RM998.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
