Covid-19 kekal terkawal, tiada kes kematian direkod sepanjang 2026
KUALA LUMPUR – Situasi pandemik Covid-19 kini semakin terkawal dengan menunjukkan trend penurunan yang ketara berbanding tahun lepas tanpa sebarang kes kematian dilaporkan sepanjang tahun ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, kes Covid-19 negara turun 12.6 peratus (9,682 kes) sehingga ME 19/2026 berbanding tempoh sama tahun lepas, walaupun terdapat laporan peningkatan kes di negara-negara jiran baru-baru ini.
Menurutnya, meskipun terdapat peningkatan sebanyak 0.7 peratus (iaitu 575 kes berbanding ME18/2026), situasi ini kekal terkawal.
“Hal ini kerana, majoriti besar kes dilaporkan hanyalah melibatkan gejala ringan yang tidak memerlukan rawatan di hospital dan tiada sebarang kes kematian akibat Covid-19 direkodkan sepanjang tahun ini,” menurut kenyataan itu.
Menurut KKM, walaupun aktiviti penjujukan genomik yang dijalankan secara berterusan berjaya mengesan beberapa subvarian baharu dalam komuniti, varian-varian tersebut dilaporkan tidak berpotensi mencetuskan gelombang jangkitan yang serius.
“Bagaimanapun, hasil pemantauan rapi menunjukkan varian ini tidak mempunyai kecenderungan untuk mencetuskan gelombang jangkitan yang serius seperti pada awal fasa pandemik dahulu.
“KKM akan terus memperkukuh saringan pengembara di Pintu Masuk Antarabangsa dan bekerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam aktiviti pemantauan dan kesiapsiagaan kesihatan awam bagi memastikan pengesanan awal dan tindakan segera dapat dilaksanakan, sekiranya berlaku peningkatan risiko penularan Covid-19 dari luar negara,” katanya.
Jangkitan Covid-19 kini juga diuruskan dalam kategori jangkitan saluran pernafasan lazim seperti selesema biasa dan influenza.
Justeru, orang ramai disaran untuk terus mengamalkan penjagaan kesihatan kendiri termasuk menjaga kebersihan tangan dan memakai pelitup muka sekiranya bergejala atau berada di kawasan sesak, serta mendapatkan perlindungan vaksinasi.
Pengambilan vaksin juga amat digalakkan khususnya bagi kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, golongan imunokompromi dan wanita hamil bagi mengurangkan risiko komplikasi jangkitan.
Baru-baru ini, Singapura dilaporkan sedang memantau peningkatan kes Covid-19 berikutan sebanyak 12,700 kes dilaporkan bagi minggu 10 hingga 16 Mei, berbanding 8,000 kes pada minggu sebelumnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








