BERITA SEMASA

Brazil sokong kemasukan penuh Malaysia ke dalam BRICS

KUALA LUMPUR – Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, menegaskan bahawa negaranya akan memberikan sokongan kepada Malaysia untuk menjadi anggota penuh blok ekonomi BRICS, sekaligus memperkukuh kedudukan negara ini di pentas ekonomi global.

Lula membuat kenyataan tersebut dalam sidang media sempena lawatan rasminya ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, di mana beliau turut memuji kepimpinan Malaysia dan hubungan dua hala yang semakin erat antara kedua-dua negara.

“Saya ingin memberitahu bahawa Malaysia akan mendapat sokongan penuh daripada Brazil untuk menjadi anggota penuh BRICS.

“Saya membawa pulang satu tanggapan yang sangat positif daripada Malaysia. Di mana sahaja saya pergi, rakyatnya mesra dan penuh senyuman dan ia mengingatkan saya kepada rakyat Brazil sendiri,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

Lula turut menzahirkan rasa kagum terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas mengadakan pertemuan dengan beliau, selain sesi bersama wakil kerajaan dan komuniti perniagaan tempatan.

“Saya meninggalkan Malaysia dengan pandangan yang amat baik terhadap Perdana Menteri dan kesan positif hasil pertemuan saya dengan kerajaan serta para usahawan,” ujarnya.

Lawatan rasmi Lula ke Malaysia merupakan sebahagian daripada rangka kunjungannya ke Asia Tenggara bagi memperkukuh hubungan Brazil dengan rantau ini, termasuk dalam konteks kerjasama Selatan-Selatan serta peningkatan hubungan ekonomi dengan negara anggota ASEAN.

Pada Oktober tahun lalu, Malaysia diiktiraf sebagai salah satu daripada 13 negara yang secara rasmi ditambah ke dalam BRICS sebagai negara rakan kongsi, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang kepada satu perlima perdagangan global.

Menurut kemas kini dari @BRICSInfo di X, blok itu secara rasmi menambah 13 negara baharu ke dalam perikatan sebagai negara rakan kongsi, walaupun belum sebagai ahli penuh.

Selain Malaysia, 12 negara lain yang turut disertakan ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button