LUAR NEGARA

Bill Cosby didapati bersalah kes serangan seksual lebih 50 tahun lalu, diarah bayar pampasan

CALIFORNIA – Juri sivil di California memutuskan pelakon dan pelawak terkenal, Bill Cosby bertanggungjawab atas kesalahan menyerang secara seksual seorang wanita dalam kejadian pada tahun 1972.

Dalam keputusan yang diumumkan kelmarin, juri tersebut mengarahkan Cosby membayar pampasan berjumlah AS$59.25 juta (kira-kira RM280 juta) kepada mangsa, Donna Motsinger.

Jumlah tersebut meliputi AS$17.5 juta (RM82.6 juta) bagi kerugian lalu serta AS$1.75 juta (RM8.3 juta) bagi kerugian masa depan termasuk penderitaan emosi, kehilangan kualiti hidup dan tekanan mental.

Juri turut menganugerahkan AS$40 juta (RM189 juta) sebagai ganti rugi punitif dalam fasa kedua perbicaraan yang berlangsung di Santa Monica.

Mangsa berkata, keputusan itu memberi keadilan selepas lebih lima dekad menanggung trauma.

“Keputusan ini membuktikan kebenaran dan memberi ruang kepada mangsa untuk didengari,” memetik CNN online.

Menurut dokumen mahkamah, wanita itu mendakwa Cosby memberi minuman dan pil sebelum dia berada dalam keadaan separa sedar, sebelum diserang secara seksual.

Sementara itu, peguam Cosby berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan bercadang untuk memfailkan rayuan.

Kes tersebut merupakan antara pampasan terbesar dikenakan terhadap Cosby yang sebelum ini berdepan pelbagai tuntutan berkaitan dakwaan serangan seksual melibatkan ramai wanita.

Untuk rekod, Cosby pernah disabitkan kesalahan dalam kes berasingan pada 2018, namun sabitan itu kemudiannya dibatalkan oleh mahkamah tertinggi negeri berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button