Inisiatif Satu Rumah Satu Jalur Gemilang semarak sambutan Bulan Kebangsaan
PUTRAJAYA – Inisiatif Satu Rumah Satu Jalur Gemilang yang digerakkan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini diteruskan dengan pengisian merentas tujuh kluster utama di seluruh negara, melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Pengerangan Malaysia (JaPen), Najmi Mustapha berkata, pendekatan tersebut dilihat mampu menyemarakkan semangat patriotisme dengan penglibatan rakyat di semua peringkat.
“Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini telah menghimpunkan beberapa program antaranya yang kita buat pada hari ini iaitu Inisiatif Satu Rumah Satu Jalur Gemilang dan ia melibatkan kluster seperti kluster keselamatan, pendidikan, industri dan komuniti FELDA,” katanya.
Baca juga : Tema Hari Kebangsaan 2025: ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyerahan kit Jalur Gemilang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya Presint 11 di sini, hari ini.
Terdahulu, acara penyerahan kit Jalur Gemilang turut disempurnakan Ketua Pengarah JaPen, Julina Johan kepada Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed di IPD Putrajaya sebelum perarakan konvoi ke IPD Putrajaya Presint 11.

Sementara itu, Ketua Polis IPD Putrajaya, Presint 11, Sub Inspektor Amir Jaafar menyambut baik inisiatif yang digerakkan oleh JaPen, dengan menyifatkan ia sebagai usaha yang relevan dan signifikan dalam memperkukuh semangat kemerdekaan.
“Bagi saya, ia satu program yang baik dan patut diteruskan setiap tahun. Ia juga wajar dijadikan program tetap melibatkan pelbagai jabatan, bukan sahaja polis, sekali gus mewujudkan semangat patriotik dalam kalangan warga kerja agensi kerajaan,” katanya.
Mengulas mengenai penyerahan kit Jalur Gemilang tersebut, Najmi berkata, simbolik penyerahan itu telah disampaikan kepada semua kluster sebagai tanda sokongan untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.
Ditanya mengenai jumlah Jalur Gemilang yang diagihkan, beliau berkata, setiap kluster menerima kira-kira 200 Jalur Gemilang termasuk dengan program di kawasan-kawasan lain.
“Setiap kali kita turun kita akan bagi jumlah lebih kurang dalam 200 ke 300 Jalur Gemilang untuk kluster ataupun komuniti itu pasang di sekitar kawasan yang bersesuaian untuk kita semarakkan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Najmi menjelaskan, inisiatif itu turut diperluaskan ke sektor industri melalui kerjasama bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), termasuk pemasangan bendera di stesen minyak serta pasar raya terpilih khususnya di kawasan Lembah Klang.
“Kita perluaskan program ini bukan hanya untuk di agensi kerajaan malah di peringkat industri pun kita ada… pilihan lokasi itu lebih kepada Lembah Klang dan juga ada yang kita buat kluster seperti komuniti melibatkan kawasan-kawasan FELDA,” ujarnya.
Menurut beliau, beberapa kawasan FELDA telah dikenal pasti termasuk di Negeri Sembilan dengan pengisian seperti konvoi dan pemasangan Jalur Gemilang bersama komuniti setempat.
Tambahnya, pelaksanaan program ini bukan hanya tertumpu di peringkat ibu pejabat di Putrajaya, malah diperluas di seluruh negara dengan penglibatan Komuniti MADANI, termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Di peringkat negeri melalui Japen negeri, kita ada bersama dengan Komuniti MADANI… dan di situ juga kita ada mengadakan program untuk semarakkan Bulan Kebangsaan seperti mana yang kita lakukan hari ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai tempoh pelaksanaan, beliau berkata, program telah bermula sejurus Majlis Pelancaran di Muar pada 27 Julai lalu dan akan berlangsung sehingga Hari Malaysia pada 16 September.
“Maknanya program ini akan berterusan sehingga 16 September untuk kita semarakkan bulan kebangsaan dan juga Hari Malaysia,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








