Lelaki ditikam kerana berebut kad Pokémon di California
CALIFORNIA – Seorang lelaki dilaporkan parah selepas ditikam dalam satu insiden pergaduhan berkaitan pembelian kad Pokémon di sebuah premis permainan video, GameStop, di Colma.
Menurut kenyataan Jabatan Polis Colma, kejadian berlaku sekitar pukul 9.20 pagi waktu tempatan apabila pihak polis menerima panggilan berhubung satu pergelutan di dalam premis berkenaan.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota kami menemui seorang lelaki dalam keadaan cedera parah dengan kesan luka dan tikaman di beberapa bahagian badan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal namun kini dilaporkan stabil.
Difahamkan, insiden itu berpunca daripada tindakan seorang pelanggan yang dikatakan cuba memotong barisan untuk mendapatkan kad Pokémon, sehingga mencetuskan pertengkaran mulut dengan mangsa.
“Pertikaian tersebut bertukar ganas apabila suspek pertama, Miguel Orellanas-Flores, 49, dipercayai memukul belakang kepala mangsa menggunakan balang kaca sebelum suspek kedua, Isaiah Calles, 27, menyerang mangsa dengan serpihan kaca yang pecah,” jelasnya.
Kedua-dua suspek dilaporkan melarikan diri menaiki dua kenderaan berasingan namun berjaya ditahan polis pada hari yang sama.
“Polis telah mengenal pasti dan menahan kedua-dua individu terbabit sebelum mendakwa mereka atas kesalahan menyerang menggunakan senjata tajam dan bersubahat melakukan jenayah,” ujarnya.
Kedua-dua lelaki kini ditahan di Penjara San Mateo County sementara siasatan lanjut dijalankan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

