BERITA SEMASA

Berdiri kaku sepanjang perlawanan, Mboladinga curi perhatian ketika perlawanan antara Congo dan Portugal

HOUSTON – Seorang penyokong Congo mencuri perhatian orang ramai dengan aksi berdiri kaku sepanjang perlawanan melibatkan pasukan negaranya dan Portugal awal pagi tadi.

Michael Mboladinga yang menyertai delegasi rasmi pasukan itu membuat aksi sedemikian sebagai penghormatan simbolik kepada mendiang Patrice Lumumba iaitu Perdana Menteri pertama Republik Congo yang dibunuh pada tahun 1961.

Aksi berdiri kaku Mboladinga sejak Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 itu telah mencetuskan fenomena global sekali gus menjadikannya simbol penyokong paling ikonik bagi Congo.

Postur yang dikekalkan oleh Mboladinga adalah meniru gaya patung ikonik Lumumba, sebagai peringatan terhadap pengorbanan pemimpin tersebut dalam perjuangan kemerdekaan negara daripada penjajahan Belgium.

Kisah ini membawa nilai emosi yang tinggi, memandangkan Congo akhirnya kembali ke pentas Piala Dunia buat kali pertama sejak tahun 1974, era di mana pasukan itu dikenali sebagai Zaire dan pernah dibayangi oleh campur tangan diktator Mobutu Sese Seko dalam urusan sukan negara.

Aksi Mboladinga pernah mencetuskan insiden kontroversi semasa pusingan 16 pasukan AFCON 2025 menentang Algeria.

Pemain Algeria, Mohamed Amine Amoura, dilaporkan mengejek gaya Mboladinga pada penghujung perlawanan tersebut yang kemudiannya mencetuskan kemarahan penyokong di seluruh dunia.

Walau bagaimanapun, insiden itu berakhir dengan nada perdamaian apabila pihak pengurusan pasukan Algeria menjemput Mboladinga ke kem latihan mereka dan menghadiahkannya jersi dengan nama ‘Lumumba’ sebagai tanda hormat.

Susulan kejayaan dramatik Congo melayakkan diri ke Piala Dunia 2026 menerusi pusingan play-off, Mboladinga diiktiraf sebagai simbol kebangkitan nasional.

Pengaruh dan nilai sejarah yang dibawa menyaksikan Mboladinga dijemput secara rasmi sebagai ahli delegasi skuad kebangsaan bagi saingan Piala Dunia.

Segala kos perjalanan ditanggung pasukan, menjadikan Mboladinga ahli kehormat yang melambangkan bahawa bola sepak bukan sekadar sukan, tetapi wadah memelihara identiti dan memori perjuangan negara meskipun di sebalik cabaran krisis Ebola.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button