LUAR NEGARA

Beijing dilanda ribut pasir, pencemaran udara cecah tahap serius

BEIJING – Bandar raya Beijing dilanda angin kencang dan ribut pasir sejak petang semalam sekali gus mengakibatkan kualiti udara merosot teruk dan beberapa aktiviti awam terpaksa dihentikan sementara.

Menurut laporan agensi berita Xinhua, pihak berkuasa meteorologi bandar itu memaklumkan kepekatan zarah terampai PM10 meningkat mendadak dengan bacaan purata mencecah 175 mikrogram setiap meter padu setakat pukul 2 petang semalam iaitu pada tahap pencemaran ringan.

Bagaimanapun, kemuncak pencemaran dijangka melepasi 500 mikrogram setiap meter padu menyebabkan ia mencapai tahap pencemaran serius yang boleh menjejaskan kesihatan awam.

Susulan keadaan itu, beberapa kawasan pelancongan luar ditutup sementara manakala sebahagian aktiviti sambutan Tahun Baharu Cina ditangguhkan.

Langkah itu diambil berikutan penguatkuasaan amaran kuning bagi angin kencang dan amaran biru bagi ribut pasir.

Ketika ini, rakyat China sedang menikmati cuti sembilan hari sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Ramalan kaji cuaca menunjukkan angin kencang dijangka beransur lemah esok yang juga hari terakhir cuti umum berkenaan.

Sementara itu, Pentadbiran Meteorologi China pada Jumaat memaklumkan beberapa wilayah di utara negara itu dijangka mengalami angin kencang dan ribut pasir dari Jumaat hingga Ahad.

Respons kecemasan Tahap 4 bagi bencana meteorologi utama turut diaktifkan.

Dalam perkembangan berkaitan, perkhidmatan feri penumpang bagi laluan antara wilayah Liaoning dan Shandong digantung bermula 12.50 tengah hari Sabtu susulan keadaan laut bergelora akibat angin kencang.

Pihak berkuasa maritim tempatan memaklumkan perkhidmatan itu dijangka disambung semula secara berperingkat hari ini.

China mengamalkan sistem amaran cuaca empat peringkat dengan warna merah sebagai tahap paling serius diikuti jingga, kuning dan biru.

Sistem respons kecemasan pula diklasifikasikan kepada empat tahap, dengan Tahap 1 sebagai yang tertinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button