BERITA SEMASA

BDR tuntut disiplin tinggi, bukan ruang ambil mudah tugas – KSN

SHAH ALAM – Pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) yang akan bermula 15 April ini menuntut komitmen serta tahap produktiviti setara seperti di pejabat, dan bukannya alasan untuk penjawat awam mengabaikan tanggungjawab.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan, pelaksanaan BDR perlu mematuhi garis panduan ditetapkan dengan pemantauan rapi oleh ketua jabatan.

“Jangan salah faham, BDR bukan bermaksud baring atau duduk rehat, juga bukan beli-belah di pasar raya.

“Output dan produktiviti mesti kekal kerana pegawai yang melaksanakan BDR perlu mempunyai KPI (petunjuk prestasi utama) yang jelas dan ditetapkan lebih awal,” katanya ketika menyampaikan Ucaptama Taat Setia Madani di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7, di sini hari ini.

Menurut beliau, dasar tersebut merupakan sebahagian daripada usaha reformasi perkhidmatan awam yang menekankan pencapaian hasil kerja berbanding kehadiran fizikal semata-mata.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan penjawat awam agar terus menjunjung prinsip kesetiaan kepada raja dan negara, khususnya kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Katanya, penjawat awam bukan sekadar melaksanakan tugas pentadbiran, tetapi berperanan sebagai pelaksana dasar kerajaan demi memastikan kesejahteraan rakyat.

“Kesetiaan itu bukan hanya ditunjukkan ketika majlis rasmi, tetapi perlu dizahirkan dalam setiap keputusan dan tindakan, sama ada di pejabat atau di lapangan,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Beliau turut menegaskan kepentingan penjawat awam mematuhi dasar kerajaan tanpa dipengaruhi kepentingan peribadi atau politik sempit.

Menurutnya, kegagalan melaksanakan dasar bukan sahaja mencerminkan kelemahan pentadbiran, malah memberi kesan langsung kepada rakyat seperti bantuan tidak sampai, kemudahan terabai dan keselamatan terjejas.

Mengulas cabaran semasa, Shamsul Azri berkata, ketidaktentuan ekonomi global turut memberi tekanan kepada negara termasuk peningkatan kos subsidi minyak.

Sehubungan itu, beliau menyeru langkah penjimatan dilaksanakan di semua peringkat termasuk pejabat kerajaan dengan mengurangkan pembaziran seperti penggunaan elektrik, mesyuarat fizikal serta lawatan ke luar negara yang tidak perlu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button