BERITA SEMASAGAYA HIDUP

Bazar Seni 2025 BNM MAG raikan seni, kreativiti dan semangat kebersamaan

KUALA LUMPUR – Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) kembali dengan acara tahunan Bazar Seni 2025 bertemakan tema ‘Camaraderie: Makin Erat, Makin Sepakat’ yang akan berlangsung sehingga 28 September ini.

Bazar kali ini menekankan kepentingan jalinan hubungan sesama insan melalui seni dan kreativiti, dengan memberi ruang kepada para pengkarya untuk meneroka inti pati kemanusiaan.

Majlis perasmian acara ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Perkhidmatan Bank Negara Malaysia, Mohd Fuad Arshad.

Bazar Seni BNM
Noreen (kiri) ketika majlis perasmian Bazar Seni 2025 yang disempurnakan Mohd Fuad (tengah).

Sama ada melalui solidariti rentas budaya, aktiviti kemasyarakatan atau hubungan merentas generasi, manifestasi tersebut dizahirkan dalam bentuk seni, muzik dan interaksi manusia dengan alam sekitar.

Pengarah BNM MAG, Noreen Zulkepli berkata, seni mempunyai kuasa untuk menyatukan insan dengan cara yang tidak dapat ditandingi oleh medium lain.

“Melalui Bazar Seni tahun ini, kami berharap dapat memupuk rasa kebersamaan dan hubungan, sekali gus membolehkan pengunjung bukan sahaja menikmati hasil karya kreatif malah turut menyumbang kepada semangat kebersamaan melalui interaksi dan aktiviti yang bermakna,” katanya.

Sebanyak 26 pengkarya tempatan mengambil bahagian dalam pameran tahun ini.

Antaranya ialah Luqman Ismail, Danielle Lin, Shasha Jamal, Carissa Gan, Sabariah Mohamed Daud, Lim Anuar, Mubarak Jamil, Tya Ramli, Amanda Vashti dan Rishya Roslan.

Selain itu, ia turut disertai Nur Shazwanie, SM Raja, Balqis Tajalli, Jean Lynn Chang, Suhaimie Ramly, Azman Nor, Asyraf Hidayat, Saharom Ab Latif, Aliff Danial, Alie Castello serta bakat-bakat BNM.

Bazar Seni BNM
Para pengunjung boleh menyaksikan pelbagai karya seni oleh pengkarya tempatan yang dijual pada harga berpatutan.

Pengunjung boleh mendapatkan karya seni pada harga berpatutan tidak melebihi RM2,500, selain menikmati batik buatan tangan, kraf seni tempatan dan sajian ringan daripada peniaga tempatan.

Tarikan utama acara termasuk demonstrasi seni secara langsung, reruai interaktif dan mural kolaboratif ‘Togetherness’ yang memberi peluang kepada pengunjung untuk turut serta melukis di atas kanvas.

Aktiviti cap kreatif dan penebusan hadiah percuma di Kedai Muzium turut menambahkan kemeriahan bazar ini.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang museum.bnm.gov.my
atau media sosial BNM MAG di Facebook (@BNM.MAG), Instagram (@bnmmag) dan X (@BNM_MAG).

Bazar ini dibuka setiap dari Selasa hingga Ahad bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang. Masuk adalah percuma.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button