BERITA SEMASASUKAN

Azizulhasni umum tinggalkan skuad kebangsaan, bergerak secara profesional

KUALA LUMPUR – Datuk Mohd Azizulhasni Awang membuat keputusan untuk meneruskan kariernya sebagai pelumba berbasikal trek profesional selepas kegagalan di Sukan Olimpik Paris 2024.

Bekas juara dunia keirin itu berkata, keputusan itu bukan semata-mata soal karier, namun lebih kepada kepuasan peribadi sebagai atlet yang mahu menamatkan perjuangan dengan cara terhormat.

“Pengakhiran di Paris masih mengganggu saya. Ia bukan cara yang saya mahu akhiri karier ini. Saya bina semua ini dengan susah payah, dengan penuh dedikasi. Jadi saya perlu cuba lagi, saya mahu satu penutup yang manis.

“Saya teruskan untuk dua tahun sahaja dulu, sebab saya rasa masih ada sesuatu yang belum selesai dalam diri saya. Harapnya ada manisnya dan dapat mengucapkan selamat tinggal dengan cara yang baik,” katanya dalam sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Terdahulu, Azizulhasni, 37, pernah memberi bayangan untuk bersara selepas 21 tahun bergelar pelumba skuad kebangsaan susulan penyertaannya dalam acara keirin Olimpik Paris tahun lalu dibatalkan kerana kesalahan teknikal.

Azizulhasni yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Rio 2016, berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Saya buat keputusan untuk kembali aktif dalam sukan berbasikal secara kompetitif, namun perjalanan kali ini sedikit berbeza kerana saya tidak lagi bersama pasukan kebangsaan.

“Saya memilih untuk bergerak secara profesional dan berdikari. Dalam pertemuan bersama MSN dan Institut Sukan Negara (ISN), saya minta supaya tumpuan dan peruntukan diberikan sepenuhnya kepada atlet lain demi kesinambungan sukan ini,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button