Anwar ke Johannesburg hadiri Sidang Kemuncak G20
ADDIS ABABA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual berlepas ke Johannesburg, Afrika Selatan hari ini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Pemimpin G20.
Beliau diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon; ADUN Batu Uban, A Kumaresan; selain pegawai kanan kerajaan serta delegasi pemimpin perniagaan utama negara.
Kehadiran Anwar ke sidang berprestij itu adalah atas kapasitinya sebagai Pengerusi ASEAN 2025, susulan undangan Presiden Afrika Selatan yang juga Presiden G20 2025, Matamela Cyril Ramaphosa, lapor NST.
Sidang G20 tahun ini membawa tema ‘Solidariti, Kesaksamaan, Kemapanan’, sejajar dengan tema Pengerusi ASEAN 2025 oleh Malaysia iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang menekankan agenda pembangunan seimbang serta pertumbuhan ekonomi mampan.
Sepanjang sesi persidangan, Anwar dijangka mengemukakan pandangan ASEAN dalam dua sesi utama, selain menegaskan keutamaan rantau ini terhadap kerjasama global yang lebih inklusif.
Menurut Wisma Putra, Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Ramaphosa bagi menyambung perbincangan yang dimulakan ketika lawatan rasmi pemimpin Afrika Selatan itu ke Malaysia bulan lalu, bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
“Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kerjasama utama merangkumi perdagangan, pelaburan, minyak sawit, industri halal, pendidikan dan pembinaan kapasiti, selain meneroka peluang baharu yang dapat memperkukuh hubungan dua hala,” katanya.
Selain itu, Anwar turut menerima kunjungan hormat Naib Presiden Botswana, Ndaba Nkosinathi Gaolathe, bagi membincangkan kepentingan bersama termasuk kerjasama dalam program transformasi ekonomi negara berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


