Luar NegaraPM X

Hubungan Malaysia-Australia terus diperkukuh

KUALA LUMPUR – Hubungan Malaysia dan Australia terus diperkukuh menerusi pertemuan dua hala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri Australia, TYT Anthony Albanese pada Sidang Kemuncak Asean Ke-43 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Jakarta, hari ini.

Menurut Anwar, dalam pertemuan tersebut, beliau telah membincangkan usaha-usaha bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama dua hala Malaysia-Australia.

Jelas beliau, kerjasama tersebut merangkumi pelbagai sektor di bawah kerangka Rakan Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP).

“Peluang ini ruang untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu yang berkepentingan bersama termasuklah perkembangan serantau dan antarabangsa, selain turut membincangkan mengenai Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia yang kedua yang akan dihoskan oleh Australia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyentuh mengenai kepentingan sistem kewangan serantau.

Tegasnya, sistem kewangan serantau penting bagi menangani ketidaktentuan ekonomi global dan risiko kewangan seterusnya memperkukuh rangkaian keselamatan dan kemandirian ekonomi rantau Asia Tenggara.

Selain itu, Anwar berkata, Kerajaan Malaysia turut mengalu-alukan sambutan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia yang akan diadakan pada 4 hingga 6 Mac 2024 di Melbourne bagi memperingati Ulang Tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Australia.

Tambah Anwar, beliau menzahirkan kebimbangan berkaitan isu keselamatan makanan dan menyeru kepada peningkatan kerjasama dalam bidang pertanian pintar, dengan tumpuan terutamanya kepada petani-petani kecil.

“Saya turut menggesa kerjasama dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui, aset biodiversiti, dan aplikasi teknologi pertanian. Mesyuarat telah memperakukan Pernyataan Pemimpin ASEAN Campur Tiga mengenai Pembangunan Ekosistem Kenderaan Elektrik,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button