BERITA SEMASADALAM NEGERI

Sewa rendah, pengaruh rakan punca warga asing ‘berkampung’ di luar bandar

HULU SELANGOR – Faktor sewaan yang lebih rendah serta pengaruh rakan senegara dikenal pasti antara punca kawasan luar bandar seperti Apartmen Seri Semarak, Bukit Beruntung di sini menjadi tumpuan warga asing untuk menetap.

Perkara itu didedahkan Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin susulan operasi bersepadu yang dijalankan di kawasan berkenaan malam tadi.

Menurut beliau, kadar sewaan serendah RM400 sebulan selain kewujudan kenalan yang lebih awal menetap di situ menjadi tarikan utama golongan tersebut.

“Contohnya mereka tahu tempat ini jauh dari Kuala Lumpur dan tiada cawangan imigresen berhampiran. Ada yang mengambil kesempatan dengan menumpang bersama rakan yang memiliki dokumen sah,” katanya dalam sidang media selepas operasi malam tadi.

Dalam operasi tersebut, seramai 188 warga asing telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 73 orang disyaki melanggar undang-undang imigresen.

Beliau berkata, kesalahan utama yang dikesan adalah tidak memiliki dokumen perjalanan sah di bawah Seksyen 6(1)(c) serta tinggal lebih masa mengikut Seksyen 15(1)(c).

“Kesemua 73 individu ini akan ditahan dan dibawa untuk semakan lanjut sebelum dihantar ke Depo Tahanan Imigresen di Semenyih,” katanya.

Operasi berkenaan melibatkan seramai 135 anggota terdiri daripada 99 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Selangor, lima pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor, sembilan pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta 22 anggota Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

Antara yang ditahan melibatkan 19 lelaki warga Myanmar, enam warga Bangladesh, seorang warga India, 26 lelaki Pakistan, 17 wanita Pakistan serta empat warga Nepal.

“Daripada jumlah itu, 57 lelaki ditahan dengan lingkungan umur antara satu hingga 55 tahun,” katanya.

warga asing
73 warga asing bakal dihantar ke Depo Tahanan Imigresen Semenyih. – Foto Hafiz Sharif/Malaysia Tribune

Menurut beliau, kebanyakan warga asing terbabit menyewa dan tinggal secara berkumpulan antara empat hingga tujuh orang dalam satu rumah, sama ada bersama keluarga atau rakan senegara.

Operasi tersebut dijalankan susulan aduan wakil penduduk yang berasa resah dengan gangguan termasuk mabuk, membuat bising dan tidak mengendahkan teguran.

“Mereka berasa lega apabila pihak imigresen hadir menjalankan pemeriksaan,” katanya.

Tambah beliau, terdapat juga warga asing yang memiliki pas sah termasuk bekerja sebagai pengawal keselamatan dan dalam sektor pembinaan, malah ada yang berulang-alik bekerja sehingga ke Kuala Lumpur.

“Kita tidak akan menahan mereka yang memiliki pas sah dan tidak tinggal lebih masa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa Program Repatriasi Migran (PRM) akan berakhir pada 30 April ini.

“Bagi mereka yang tinggal lebih masa atau tiada pas sah, datang sendiri ke pejabat imigresen dengan membawa tiket sehala untuk pulang dan bayaran RM520. Kita tidak akan tangkap, sebaliknya bantu mereka pulang secara sukarela sebelum program berakhir,” katanya.

Dalam operasi sama, terdapat satu atau dua individu yang cuba melarikan diri termasuk memanjat bumbung bangunan namun berjaya dikawal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button