Pengurus wanita rugi RM1.3 juta terpedaya penipuan panggilan telefon
KUANTAN – Seorang penolong pengurus wanita berusia 55 tahun mengalami kerugian lebih RM1.3 juta selepas terpedaya dengan penipuan melalui panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali.
Berdasarkan laporan semalam, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa menerima panggilan telefon yang mendakwa daripada syarikat penghantaran barang memaklumkan mangsa kononnya menerima satu bungkusan mengandungi barangan terlarang pada 11 Disember tahun lalu.
Katanya, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis.
“Suspek memperdaya mangsa dengan mendakwa wang simpanan mangsa perlu disiasat bagi mengenal pasti sumber kewangan yang menyebabkan mangsa berasa takut dan cemas.
“Mangsa seterusnya diarahkan untuk mengeluarkan wang simpanan daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta wang pelaburan sebelum memasukkan wang kepada tiga akaun bank yang diberikan suspek.
“Mangsa membuat lima transaksi pemindahan wang kepada akaun terbabit dalam tempoh 24 Disember 2025 hingga 4 Januari lalu dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM1,313,210, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi suspek apabila nombor telefon disekat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Susulan itu, orang ramai dinasihatkan segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan yang berkenaan jika menerima panggilan meragukan untuk mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
“Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











