KPM jamin kanak-kanak 6 tahun dapat tempat dalam Tahun Satu sesi persekolahan 2027
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan kanak-kanak berusia enam tahun yang mendaftar bagi kemasukan ke Tahun Satu bagi sesi persekolahan 2027, akan mendapat tempat tanpa sebarang penolakan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, persediaan KPM untuk menerima kemasukan murid pada usia berkenaan, berada pada tahap maksimum.
“Kita bersedia untuk maksimum. Maknanya persiapan kita ketika ini maksimum, walaupun ada pilihan, persiapan kita maksimum dengan mengambil kira pemetaan yang sudah kita buat.
“Dari segi sambutan yang sudahpun kita dapat kenal pasti membabitkan kawasan tertentu. Jadi tidak akan ada penolakan, siapa yang terima dan siapa yang memohon itu kita akan masukkan.
“Keduanya tidak perlu mereka untuk mendaftar ke prasekolah sebab ini soal pilihan dan kita sudah sebut ada jaminan tempat dan persiapan kita juga maksimum,” katanya pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Fadhlina berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang mahu tahu pendekatan KPM, sekiranya jumlah pendaftaran kemasukan ke Tahun Satu itu, melebihi tempat disediakan.
Sebelum ini, KPM memaklumkan pendaftaran Tahun Satu bagi sesi akademik 2027, termasuk untuk murid berusia enam tahun akan dibuka mulai 15 Februari hingga 31 Mac depan.
Menurut KPM, pendaftaran terbuka kepada kanak-kanak warganegara dalam dua kohort umur iaitu enam tahun (5+) yang lahir pada 2 Januari hingga 31 Disember 2021 serta tujuh tahun (6+) bagi 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021
Fadhlina turut memberitahu, mana-mana ibu bapa yang mendaftarkan anak mereka bagi kemasukan Tahun Satu pada usia enam tahun, tidak perlu membuat pendaftaran untuk prasekolah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






