Wang simpanan RM35,000 hangus, rumah dan kedai runcit terbakar
KUALA KEDAH – Wang tunai berjumlah RM35,000 yang disimpan sebagai modal pusingan perniagaan hangus apabila sebuah rumah dua tingkat bersama kedai runcit musnah dalam kebakaran di Jalan Kilang Baja, Kampung Masjid Lama, di sini, malam tadi.
Pemilik premis, Sadrah Ismail berkata, wang berkenaan disimpan di dalam plastik dan diikat pada rak pakaian, namun tidak sempat diselamatkan apabila api merebak dengan pantas.
“Wang itu saya simpan untuk modal pusingan kedai runcit. Semuanya terbakar dan tidak sempat diselamatkan,” memetik BH online.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Sadrah bersama suaminya, Bashirul Abdul, dan anak bongsu mereka, Ahmad Adib Bashirul berada di tingkat bawah rumah tersebut.
Menurutnya, kejadian disedari selepas terhidu bau asap sejurus selesai menunaikan solat Maghrib sebelum asap tebal memenuhi ruang tingkat atas.
“Saya cuba naik ke atas untuk melihat apa yang berlaku, namun tidak berani kerana asap terlalu tebal dan terdapat bunyi letupan. Kami bertiga terus keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya lagi.
Dia berkata, usaha memadam kebakaran terjejas berikutan tekanan air yang rendah, menyebabkan api merebak dan turut memusnahkan rumah kakaknya yang terletak di bahagian belakang.
“Jika tekanan air kuat, mungkin rumah kakak dapat diselamatkan. Namun saya reda walaupun rumah dan kedai runcit yang diusahakan sejak 25 tahun lalu musnah. Syukur kami sekeluarga selamat walaupun kini tinggal sehelai sepinggang,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Ahmad Aminuddin Abd Rahim memaklumkan kebakaran membabitkan dua buah rumah dan sebuah kedai runcit.
Menurutnya, pasukan bomba berjaya mengawal api sepenuhnya kira-kira jam 9.30 malam dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








