BERITA SEMASA

Kadar pengangguran di paras terendah, landskap ekonomi negara terus kukuh

PUTRAJAYA – Landskap ekonomi negara menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila kadar pengangguran berada pada paras terendah dalam tempoh 11 tahun iaitu 2.9 peratus.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, pencapaian itu mencerminkan kedudukan pasaran pekerjaan yang semakin kukuh.

“Perkembangan ini memberi isyarat positif terhadap keupayaan ekonomi negara untuk terus menyokong peluang pendapatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya pada taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), di sini hari ini.

Selain itu, beliau memaklumkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengumumkan anggaran awalan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Suku Keempat 2025 yang mencatat pertumbuhan sebanyak 5.7 peratus.

“Unjuran ini membawa kepada kadar pertumbuhan keseluruhan ekonomi bagi tahun 2025 sekitar 4.9 peratus, mengatasi unjuran rasmi kerajaan antara 4.0 hingga 4.8 peratus,” katanya.

Tunku Nashrul
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah. – Foto Facebook PMO

Menurut beliau, pencapaian tersebut adalah hasil langkah penyesuaian dasar serta pembaharuan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan, meskipun negara berdepan persekitaran global yang mencabar termasuk tekanan luaran terhadap perdagangan antarabangsa.

“Pendekatan bantuan dan subsidi yang lebih bersasar terus memberi sokongan
kepada kuasa beli golongan yang memerlukan.

“Di samping itu, pengukuhan hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan rakan antarabangsa turut menyumbang kepada peningkatan keyakinan pelabur serta kesinambungan aktiviti perdagangan dan pelaburan negara.

“Kerangka Ekonomi MADANI akan terus menjadi asas pengurusan ekonomi negara dengan penekanan kepada pertumbuhan yang seimbang, berdaya tahan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button