Mahkamah tolak permohonan GISBH semak fatwa Perlis
KANGAR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasiruddin Mohd. Ali, bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Perlis (JFP) yang dikeluarkan pada Oktober 2024.
Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas memutuskan permohonan itu tidak berasas dari segi undang-undang kerana perkara yang dibangkitkan melibatkan fatwa yang berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah dan tidak boleh dicabar di mahkamah sivil.
Keputusan itu dibuat susulan fatwa JFP pada 14 Oktober 2024 yang menyatakan pegangan kumpulan GISBH sebagai fahaman bersifat batiniah, menyeleweng dan sesat.
Fatwa berkenaan turut merumuskan bahawa model ekonomi yang diamalkan syarikat itu bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam kerana didakwa mengandungi unsur penindasan, perhambaan serta eksploitasi terhadap ahli, termasuk kanak-kanak, wanita dan keluarga.
Dalam penghakimannya, Mohamad Abazafree berkata, Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengkaji semula fatwa yang dibuat atas kuasa prerogatif Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, selaku Ketua Agama Islam negeri itu.
“Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap perkara yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah,” katanya di sini hari ini.
Beliau turut berkata, fatwa tersebut menyentuh soal kefahaman, ajaran, kepercayaan serta amalan pemimpin, pengikut dan ahli GISBH yang didapati mengandungi unsur penyelewengan serta bercanggah dengan ajaran Islam yang sah.
“Fatwa itu bertujuan menyekat umat Islam daripada mengamalkan fahaman, ajaran dan kepercayaan berkenaan atau mana-mana amalan yang mempunyai persamaan dengannya,” katanya lagi.
Mahkamah turut mengambil kira bahawa pewartaan fatwa tertakluk kepada kuasa prerogatif Raja Perlis sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Negeri Perlis dan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam.
Berpandukan Seksyen 48 Enakmen 4/2006, mahkamah menegaskan sesuatu fatwa hanya boleh berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Raja Perlis sebagai prasyarat wajib.
Mahkamah juga merujuk keputusan terdahulu dalam kes Sulaiman Takrib lwn. Kerajaan Negeri Terengganu yang mengiktiraf bahawa hal ehwal pewartaan fatwa adalah tertakluk kepada kuasa prerogatif Raja atau Sultan negeri.
Sehubungan itu, mahkamah memutuskan permohonan semakan kehakiman berkenaan tidak mempunyai merit undang-undang dan menolak sepenuhnya cabaran terhadap fatwa tersebut.
Dalam prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambali dan Mohammad Solehheen Mohammad Zaki mewakili JFP serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), manakala plaintif yang tidak hadir diwakili peguam Zulfikri Ulul Azmi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





