Kamal Adli, Uqasha Senrose sah bercerai
KUALA LUMPUR – Rumah tangga pasangan pelakon, Kamal Adli dan Uqasha Senrose berakhir apabila Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengesahkan perceraian mereka pada pukul 12.56 tengah hari tadi.
Kamal Adli atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, mengakui dirinya sedih menerima keputusan berkenaan selepas usaha mempertahankan perkahwinan mereka tidak berhasil.
Menurut Kamal, sejak awal dia berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan rumah tangga yang dibina namun akur dengan ketentuan yang berlaku.
“Hari ini paling tak ‘best’, saya tak kuat. Dari awal saya hendak pertahankan dengan sebaiknya dan tidak mahu ia berakhir seperti ini,” katanya memetik laporan Metro Online ketika ditemui di perkarangan mahkamah.
Dalam pada itu, Kamal turut menzahirkan penghargaan dan permohonan maaf kepada bekas isterinya serta keluarga Uqasha.
“Terima kasih Uqasha kerana menerima saya sebagai suami, lelaki yang dicintai dan bapa kepada anak kami.
“Saya minta maaf jika ada kekurangan dan sekiranya saya menjadi suami yang tidak baik.
“Kepada keluarga Uqasha, saya mohon maaf sebesar-besarnya, begitu juga kepada keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa menyokong serta menyarankan saya untuk terus berjuang mempertahankan rumah tangga ini,” katanya.
Lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Siti Noraini Mohd Ali, mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Terdahulu, Kamal hadir ke mahkamah bersama peguam syarie, Abdul Hadi Mohamad Salleh pada pukul 9.30 pagi.
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, turut hadir bersama peguamnya, Muhammad Syazmee Sapian.
Sebelum ini, Uqasha mencetuskan perhatian ramai apabila mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang perkahwinan mereka, termasuk dipukul dan dikasari ketika sedang hamil.
Bagaimanapun, Kamal menafikan semua dakwaan berkenaan.
Mahkamah sebelum ini menasihatkan Kamal supaya melafazkan cerai selepas laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) mendapati wujud unsur shiqaq atau perbalahan berpanjangan antara pasangan itu.
Namun, Kamal pada awalnya enggan berbuat demikian dengan alasan masih menyayangi anak mereka.
Untuk rekod, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada Oktober lalu atas alasan tiada persefahaman serta berlakunya pergolakan dalam rumah tangga.
Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang kini berusia setahun lapan bulan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








