Keputusan kes 1MDB Najib disambung selepas solat Jumaat
PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan prosiding pembacaan keputusan kes melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak selepas lebih tiga jam prosiding berlangsung, bagi memberi laluan kepada solat Jumaat.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu ketika prosiding dihentikan sementara pada pukul 12.15 tengah hari di Istana Kehakiman di sini hari ini.
Menurut beliau, mahkamah masih memerlukan kira-kira satu jam lagi untuk menyelesaikan pembacaan baki keputusan melibatkan empat pertuduhan salah guna kedudukan untuk memperoleh suapan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
“Sila pastikan tertuduh dibawa semula ke mahkamah ini dan prosiding disambung pada pukul 3 petang,” katanya lagi.
Pendakwaan dikendalikan oleh pasukan Timbalan Pendakwa Raya diketuai Datuk Ahmad Akram Gharib bersama Datuk Kamal Baharin Omar, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Deepa Nair Thevaharan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.
Najib diwakili pasukan peguam bela antaranya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Wan Mohammad Arfan Wan Othman dan Effa Azuin.
Bekas Menteri Kewangan itu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama yang didakwa berlaku antara tahun 2011 hingga 2014.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014, manakala pertuduhan pengubahan wang haram didakwa berlaku antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013 di bank sama.
Pertuduhan salah guna kedudukan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram pula, ia dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Prosiding keputusan kes berprofil tinggi itu dijangka bersambung pada sebelah petang hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








