Hujan berterusan, 10 keluarga dipindahkan ke PPS di Mersing
MERSING – Beberapa keluarga di daerah ini terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir yang dialami akibat hujan lebat berterusan sejak malam tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, seramai 10 keluarga membabitkan 30 penduduk dari Kampung Baru Air Tawar dan Kampung Hubong telah dipindahkan setakat ini.
Menurut beliau, sebuah PPS telah dibuka di Sekolah Kebangsaan Pusat Air Tawar bermula pukul 7 pagi tadi bagi menempatkan mangsa banjir.
“Mengikut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), lima batang sungai berada pada paras waspada melibatkan Lembangan Sungai Muar di Segamat dan Tangkak, Lembangan Sungai Endau di Mersing serta Lembangan Sungai Melantai di Kluang,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memaklumkan operasi pemindahan mangsa dilaksanakan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau bermula pukul 12.01 tengah malam, sebaik menerima laporan kejadian banjir.
Menurutnya, mangsa yang ditempatkan di PPS terdiri daripada empat bayi, 10 kanak-kanak, 13 orang dewasa dan tiga warga emas.
“Keadaan cuaca ketika ini masih hujan dan pemantauan rapi terus dijalankan oleh JBPM dengan kerjasama agensi berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan setakat ini tiada laporan jalan raya dinaiki air atau terputus, namun orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








