SUKAN

Pearly-Thinaah tamatkan kemarau pingat emas 10 tahun Sukan SEA

BANGKOK – Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah mencipta kejutan apabila berjaya menamatkan kemarau 10 tahun pingat emas dalam acara beregu wanita di Sukan SEA Thailand, hari ini.

Menduduki ranking kedua dunia, gandingan Pearly-Thinaah mencatat kejayaan dalam aksi penuh dramatik 21-16, 19-21, 21-17 menewaskan beregu Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut menzahirkan perasaan bangga atas kejayaan tersebut.

“Thank you for the gold: Sepuluh tahun menunggu dan akhirnya, detik yang dinanti telah tiba. Penampilan pertama Pearly Tan dan M. Thinaah di pentas Sukan SEA telah menghadiahkan pingat emas buat negara,” tulisnya di Facebook.

Tambah Hannah, ia bukan sekadar kemenangan tetapi hadiah buat sokongan, harapan dan doa peminat badminton negara yang lama menanti kejayaan beregu wanita di Sukan SEA.

“Debut yang berani, kemenangan yang bersejarah. Terima kasih menamatkan kemarau yang panjang. Tahniah Pearly dan Thinaah!” katanya lagi.

Pada perlawanan yang berlangsung di di Gimnasium Universiti Thammasat, Rangsit itu, Pearly-Thinaah bermula garang pada set pertama dengan corak permainan pantas dan pertahanan cukup padu sekali gus menyukarkan regu Indonesia untuk mencari rentak kemenangan.

Mereka bagaimanapun tewas di set kedua sebelum bangkit melakar kemenangan mutlak pada set penentuan.

Kali terakhir skuad negara memenangi emas menerusi gandingan Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button